BANGKOK 26 Okt. – Parti pembangkang terbesar Thai, Parti Pheu Thai hari ini mendesak Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha agar melepaskan jawatannya segera pada sesi persidangan khas di Parlimen bagi membincangkan kemelut mega yang melanda negara itu.
Protes besar-besaran yang diketuai oleh para pelajar ini pada asalnya mendesak pengunduran Prayuth dan menuntut perlembagaan baharu.
Namun, ia kini beralih fokus untuk mencabar reformasi monarki dan kuasa Raja Maha Vajiralongkorn.
Menurut laporan Reuters hari ini, Ketua Parti Pheu Thai, Sompong Amornvivat dipetik berkata, Prayuth kini menjadi halangan dan bebanan terbesar bagi Thailand.
“Sila letak jawatan! Segalanya akan berakhir dengan baik,” kata Amornvivat yang mewakili satu-satunya parti terbesar di Parlimen.
Selepas pengisytiharan perintah darurat pada 15 Oktober lalu bagi mengakhiri protes mega yang menentang kerajaannya, Prayuth hari ini memulakan satu sesi persidangan khas di Parlimen.
Tindakan ini hanya mengundang lebih banyak kemarahan dan protes besar-besaran di Bangkok.
“Saya yakin kita masih menyayangi negara ini biarpun berbeza fahaman politik,” katanya dalam ucapan pembukaannya hari ini.
Pihak pembangkang dan ketua-ketua parti pembangkang di negara itu bagaimanapun tidak yakin krisis ini akan berakhir dengan bermulanya sesi persidangan Parlimen.
Ini kerana Prayuth memiliki sokongan majoriti di Parlimen dengan keseluruhan ahli Dewan Pertuanan dipilih sendiri oleh bekas jeneral tersebut.
Prayuth berjaya merampas kuasa pentadbiran negara itu pada tahun 2004 selepas menyingkirkan Perdana Menteri pilihan ramai, Yingluck Shinawatra.
Yingluck merupakan adik perempuan Thaksin Shinawatra yang bergelut dengan kepincangan dan ketidakstabilan pentadbiran negara sejak sedekad lalu.
Para pemprotes menuduh Prayuth bermain kotor dalam pilihanraya lalu demi memastikan pentadbiran Thailand masih dalam genggaman erat kuasa tentera tetapi perkara ini tetap dinafikannya.
Kemelut politik di Thailand turut menyaksikan para pemprotes mencabar institusi monarki dan mendesak kuasa raja dikurangkan demi melemahkan dominasi kuasa tentera di negara itu. – DagangNews.com