Sime Darby berunding dengan pelbagai pihak teroka peluang dalam EV - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Sime Darby berunding dengan pelbagai pihak teroka peluang dalam EV - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Sime Darby Berhad difahamkan sedang perbincangan dengan pelbagai pihak untuk meneroka peluang berkaitan segmen kenderaan elektrik (EV). 

 

Bagaimanapun, kumpulan percaya bahawa pasaran automotif memerlukan tiga hingga empat tahun untuk mula menerap teknologi EV, menurut penganalisis di HLIB Research, Daniel Wong.

 

Secara umumnya, Wong percaya segmen automotif akan kekal kukuh, dipacu oleh permintaan yang tinggi ekoran gabungan sikap pengguna yang berubah-ubah terutamanya di China selain pelan pemulihan dan rangsangan oleh kerajaan yang melonjakkan ekonomi. 

 

“Walaupun terhadap kebimbangan berterusan terhadap kekurangan cip, namun BMW mengutamakan bekalan ke pasaran China dan ketika ini ia mampu memenuhi permintaan tinggi dengan paras inventori rendah, sekali gus memberi keuntungan kepada kumpulan serta menambah baik marginnya,” jelas Wong dalam satu nota kajian.

 

Pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21), Sime Darby mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM345 juta, lonjakan 30.7% berbanding suku tahun sebelumnya, namun menyusut 25% dari segi perbandingan tahun ke tahun. 

 

Bagi prestasi kewangan sepanjang FY21, kumpulan mencatatkan PATMI bernilai RM1.2 bilion, menyusut 2.9% berbanding tahun kewangan lalu. 

 

Baca : Sime Darby rekod untung bersih RM1.43 bilion dipacu segmen permotoran 

 

HLIB Research mengekalkan saranan ‘beli’ saham Sime Darby dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM2.68.

 

Sementara, CGS-CIMB Research pula meningkatkan unjuran perolehan sesaham (EPS) Sime Darby pada FY21 hingga FY23 sebanyak 9% hingga 135. 

 

Menurut penganalisisnya, Mohd Shanaz Noor Azam, TP Sime Darby turut ditingkatkan kepada RM2.95 daripada RM2.80 dengan saranan ‘tambah’ ke atas saham kumpulan dikekalkan.

 

“Sementara itu, kekurangan semikonduktor global mendatangkan impak yang minimum ke atas Sime Darby, tetapi ia sebaliknya membantu untuk mengoptimumkan modal bekerja kumpulan. 

 

“Secara dasarnya, ini mengurangkan keperluan untuk mendapatkan potongan kenderaan, yang membantu mengekalkan margin bahagian permotoran,” katanya. - DagangNews.com