KUALA LUMPUR 4 Julai - Sime Darby Berhad menjual keseluruhan kepentingan ekuiti dalam syarikat-syarikat Pelabuhan Weifang pada 1.92 bilion yuan (kira-kira RM1.27 bilion).
Anak syarikat milik penuh tidak langsung kumpulan, Sime Darby Overseas (HK) Ltd. (SDOHK) telah menandatangani perjanjian untuk menjual kepentingannya dalam lapan entiti kepada SPG Bohaiwan Port Group Co. Ltd., yang merupakan sebahagian daripada Shandong Port Group Co.
Shandong Port Group Co merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh kerajaan wilayah Shandong untuk menyatukan aset pelabuhan di wilayah tersebut.
Syarikat-syarikat yang dijual itu menyediakan pelbagai perkhidmatan pelabuhan seperti memuatkan dan memunggah kontena, pukal kering, pukal berasingan, kargo am dan cecair serta perkhidmatan penyimpanan untuk pelanggan pelabuhan.
Sime Darby berkata, selain pertimbangan penjualan, SDOHK akan menerima jumlah indikatif 541 juta yuan (kira-kira RM357 juta) sebagai pembayaran balik pinjaman pemegang saham.
“Hasil penjualan syarikat-syarikat Pelabuhan Weifang oleh Sime Darby akan digunakan untuk pelaburan masa depan perniagaan teras kumpulan dalam sektor perindustrian dan automotif di samping sebagai perbelanjaan modal atau pembayaran balik pinjaman jangka pendek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Sime Darby secara beransur-ansur menjual aset yang telah dikenal pasti sebagai bukan teras, sebagai sebahagian daripada usaha kumpulan menyelaraskan portfolio dan menggunakan semula modal bagi menyokong pertumbuhan perniagaan teras dalam bidang perindustrian dan automotif.
Ia menambah, penjualan ini termasuk penjualan perniagaan pengurusan air di Weifang serta kepentingan dalam Tesco Malaysia, Eastern & Oriental Berhad dan tiga pelabuhan sungai di Jining.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, China kekal sebagai antara pasaran penting Sime Darby dan ia menyumbang hampir 40% kepada perolehan kumpulan.
Beliau berkata, perniagaan perindustrian dan automotif kumpulan di negara itu meliputi 120 lokasi dan 14 wilayah.
Pihaknya berharap dapat menyalurkan hasil yang diterima daripada penjualan ini untuk meluaskan dan mengukuhkan kedudukan SIme Darby dalam sektor perindustrian dan automotif di China selain terus meneroka peluang dalam pasaran lain, katanya.
“Tempoh beberapa tahun lepas amat mencabar bagi sektor pelabuhan, dan kami terhutang budi kepada kerajaan wilayah Shandong kerana menyempurnakan penjualan ini, lantas membolehkan kami menyalurkan hasil yang diraih untuk mengembangkan perniagaan teras kami,” katanya.
Perjanjian penjualan saham itu dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat 2022. - DagangNews.com