Sime Darby Plantation bimbang disekat Kastam AS  | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Plantation bimbang disekat Kastam AS 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Sime Darby Plantation Berhad (SDP) menzahirkan kebimbangan sekiranya Jabatan Kastam dan Perlindungan Amerika Syarikat (CBP) turut menyekat pengimportan produk minyak sawit kumpulan syarikat itu. 

Ini berikutan SDP melihat AS sebagai pasaran pertumbuhan penting untuk produk mereka, walaupun nilai eksport tahunan ke negara tersebut mencatat jumlah sederhana sekitar AS$5 juta (anggaran RM20.8 juta).

Ini menjadi isu umum apabila SDP menjadi subjek petisyen yang diajukan oleh Liberty Shared (LS) kepada CBP pada 20 April 2020 seperti yang dilaporkan secara meluas oleh media.

Walaupun kami berusaha untuk berhubung dengan CBP, namun tidak berpeluang untuk memberi penjelasan dan SDP juga tidak diberikan perincian mengenai tuduhan oleh LS,” kata SDP dalam satu kenyataan hari ini. 

Kenyataan itu merujuk kepada laporan yang menggambarkan SDP merupakan firma perladangan seterusnya bakal berdepan sekatan import oleh CBP. 

SDP sebelum ini telah memberi maklum balas ke atas petisyen LS dan kenyataan umum lanjut.

Baca : Satu lagi syarikat ladang besar malaysia bakal berdepan tindakan Kastam Amerika

Semalam, Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan mendedahkan satu lagi syarikat ladang besar bakal berdepan tindakan itu selepas diberitahu oleh duta besar AS ke Malaysia. 

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan maklumat syarikat itu.

Perkara berkenaan adalah susulan tindakan sekatan ke atas pengimportan minyak sawit keluaran FGV Holdings Berhad (FGV) yang berkuatkuasa semalam. 

“Selama beberapa tahun, kami memainkan peranan kepemimpinan dalam memacu prinsip pembangunan lestari di seluruh operasi kami. 

“Maklum balas kami menunjukkan komitmen serius untuk menegakkan hak asasi manusia dan niat untuk memperbaiki segala kekurangan dalam operasi dan rantaian bekalan syarikat,” tambah SDP. 

Jelas kumpulan syarikat itu, pihaknya akan terus berhubung bagi memperoleh perincian terhadap tuduhan yang diterima sebagai langkah untuk segera menanganinya.

“Perkara itu terus menjadi perhatian dalam rancangan syarikat, diikuti perbincangan kami dengan LS, untuk melakukan tinjauan bebas mengenai tadbir urus, prosedur dan amalan yang berkaitan, perinciannya akan diumumkan pada waktunya,” ujar SDP. - DagangNews.com