Sime Darby Property dijangka lepasi sasaran jualan RM3 bilion menjelang akhir 2024, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property dijangka lepasi sasaran jualan RM3 bilion menjelang akhir 2024, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - RHB Investment menjangkakan Sime Darby Property Bhd melepasi sasaran jualan RM3 bilion menjelang akhir tahun ini didorong momentum jualan yang positif pada suku-suku tahun akan datang.

 

Katanya, pasaran hartanah menunjukkan momentum yang kukuh dengan kadar penggunaan ketara seperti  di Taman Perindustrian Bandar Bukit Raja 3 dan The Corak di Serenia City, bersama-sama dengan sambutan positif untuk kediaman mewah seperti The Ophera di KLGCC Resort. 

 

Firma penyelidikan tu berkata, sehingga April 2024, kumpulan itu mempunyai tempahan berjumlah RM2.4 bilion yang akan ditukar kepada kontrak jualan. 

 

"Kami menyukai pendedahan strategik kumpulan terhadap segmen perindustrian dan pendapatan yang kukuh akan terus memacu penarafan semula saham.

 

"Kami menyemak naik unjuran pendapatan FY24-FY25 antara 13% hingga 15%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, pendapatan suku pertama kumpulan itu mengatasi jangkaan didorong jualan hartanah yang kukuh serta pengebilan kemajuan merangsang pertumbuhan hasil bagi segmen pembangunan hartanah.

 

Katanya, pertumbuhan pendapatan tahun ke tahun didorong oleh jualan dan pengebilan yang lebih tinggi dari Bandar Bukit Raja, Serenia City, Ara Damansara, PutraHeights, SJ7 dan Elmina.

 

"Walaupun terdapat sedikit penurunan dari suku tahun ke suku tahun dalam hasil pembangunan hartanah, pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) meningkat 32%, mungkin disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen perindustrian dan sumbangan kewangan daripada tanah di Kedah.

 

"Inventori siap yang tidak terjual meningkat kepada RM312.6 juta berbanding RM243.4 juta pada suku sebelumnya," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.42 berbandimh RM1.05 sesaham. - DagangNews.com