Sime Darby Property rangkul anugerah 'All-Stars' StarProperty Awards 2023 | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property rangkul anugerah 'All-Stars' StarProperty Awards 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - Sime Darby Property Bhd meneruskan rentak kemenangannya selepas memperoleh tempat pertama dalam kategori 'All-Stars' di Anugerah StarProperty 2023 edisi pemaju hartanah, baru-baru ini.

 

Anugerah All-Stars disampaikan kepada pemaju hartanah yang berprestasi terbaik. Selain itu, syarikat turut diiktiraf dalam lapan kategori anugerah. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, pihaknya berbesar hati untuk diiktiraf sebagai yang terbaik dalam kalangan pemaju yang berjaya. 

 

"Anugerah ini bukan sahaja mencerminkan dedikasi Sime Darby Property yang tidak berbelah bahagi untuk meluaskan akses kepada hartanah.

 

"Ia juga mendorong kami untuk terus mengubah dan memodenkan landskap Malaysia dengan pembangunan bertaraf dunia, memanfaatkan kepakaran kami, dan dipandu tadbir urus yang kukuh" katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tambah Azmir, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada penganjur, StarProperty, serta panel hakim kerana melihat potensi mereka.

 

"Kami berharap untuk menawarkan pelanggan kami rangkaian pilihan unggul yang semakin meluas merangkumi nilai dan kualiti, seterusnya meningkatkan pengalaman hidup dan melabur di Malaysia," katanya.

 

 

sime darby

 

 

Anugerah StarProperty 2023 meraikan pemaju hartanah yang telah membantu dalam pengembangan industri hartanah negara.

 

Anugerah yang disampaikan mengiktiraf produk berkualiti tinggi yang membentuk asas masyarakat termasuk bangunan mercu tanda, inisiatif ekologi mampan dan perbandaran bersepadu. - DagangNews.com