KUALA LUMPUR 11 Julai - Sime Darby Property dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi GSPARX Sdn Bhd menjalinkan kerjasama bagi mempromosikan inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE) mampan di Malaysia.
Kerjasama itu akan memanfaatkan portfolio asset dan pembangunan Sime Darby Property serta rekod cemerlang GSPARX dalam menyempurnakan pelaksanaan projek solar atas bumbung.
Kerjasama itu akan memberi fokus kepada pembiayaan, pembangunan dan pengendalian projek penjanaan suria atas bumbung di seluruh portfolio aset dan perbandaran Sime Darby Property.
Sehingga kini, 14 aset telah dikenal pasti, dengan potensi menjana sehingga 4.5MW kapasiti solar, menandakan satu langkah penting ke arah masa depan yang lebih hijau.
Jalinan kerjasama itu bertujuan mengembangkan kapasiti solarnya kepada 20MW dalam tempoh lima tahun dan 50MW dalam tempoh lima belas tahun.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican, berkata, perubahan iklim adalah antara cabaran global terbesar dan sebagai pemaju hartanah perintis negara, mereka bertanggungjawab meminimumkan kesan dan pelepasan operasi ke atas planet ini.
"Inisiatif solar atas bumbung adalah antara satu strategi jangka pendek Sime Darby Property bagi mengurangkan 40% pelepasan Skop 1 dan 2 menjelang 2030 apabila syarikat beralih kepada RE dalam menggerakkan operasinya serta membekalkan RE kepada komersial, perindustrian dan pelanggan kediaman di dalam perbandarannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri berkata, kerjasama itu membolehkan pihaknya mengembangkan jejak dalam sektor solar atas bumbung, sejajar dengan misi kumpulan bagi menyediakan rumusan tenaga mampan.
"Kerjasama ini merupakan langkah penting ke arah mencapai RE kerajaan dan ia menunjukkan dedikasi kami untuk memajukan landskap tenaga hijau Malaysia," katanya.
Dengan memilih produk Sime Darby Property, pelanggan menyumbang kepada matlamat Malaysia untuk mencapai 70% penjanaan RE menjelang 2050, menambah nilai dan kalis masa depan bagi pelaburan mereka.
Hartanah dengan rumusan RE mampan semakin dicari, meningkatkan nilai hartanah, dan memberikan pulangan pelaburan yang tinggi.
Kerjasama itu memastikan perkhidmatan terbaik dan rumsan tenaga yang boleh dipercayai, dengan GSPARX menyediakan khidmat nasihat teknikal, perkhidmatan pemasangan dan penyelenggaraan berterusan untuk pemasangan solar atas bumbung.- DagangNews.com