Sime Darby rekod untung bersih RM1.43 bilion dipacu segmen permotoran | DagangNews Skip to main content

Sime Darby rekod untung bersih RM1.43 bilion dipacu segmen permotoran

 

 

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Untung bersih Sime Darby Bhd. melonjak 73.8% kepada RM1.43 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM820 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Keuntungan lebih tinggi itu dicapai berikutan pendapatan kumpulan meningkat 20% kepada RM44.5 bilion bagi tempoh berkenaan.

 

Sime Darby mempamerkan prestasi yang kukuh sebahagian besar dipacu menerusi segmen permotoran di kebanyakan pasarannya terutama China.

 

Sementara itu, untung bersih bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2021 meningkat 19% kepada RM211 juta berbanding RM177 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan melonjak 29% kepada RM11.3 bilion daripada RM8.8 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pada tahun pertama selepas langkah pemisahan kumpulan dilaksanakan, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM618 juta bagi tahun kewangan 2018 dan kemudiannya meningkat kepada lebih RM1.4 bilion tahun ini. 

 

"Secara dasarnya, kami berjaya menggandakan pendapatan kami dalam tempoh lebih 4 tahun. Ini adalah hasil kejayaan kami melaksanakan Pelan Penciptaan Nilai 5 Tahun yang dibangunkan selepas langkah penyusunan itu," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Sebagai syarikat multinasional Malaysia, Sime Darby kini berkembang luas di rantau Asia Pasifik dengan operasi luar negara menyumbang 85% kepada keuntungan teras kumpulan.

 

Segmen permotoran kumpulan menunjukkan prestasi membanggakan dengan permintaan BMW dan kereta mewah semakin meningkat terutama di China. 

 

Bagaimanapun, segmen perindustrian berdepan tahun yang mencabar di sebalik permintaan perlombongan daripada para pelanggan sektor perlombongan di Australia yang berdaya tahan, tetapi permintaan dilihat lemah terutama dengan persaingan sengit di China.

 

Jeffri Salim berkata, kumpulan terus melaksanakan pelan pertumbuhan, yang menyumbang sebanyak RM2.7 bilion kepada pendapatan bagi tahun kewangan 2021.

 

"Dalam tempoh itu, lebih banyak galeri pameran BMW dan Volvo dibuka di China manakala Ramsay Sime Darby Health Care mengambil alih Manipal Hospitals di Klang, sekali gus meningkatkan rangkaian hospital serantau kepada 7," jelasnya.

 

Sime Darby mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 8 sen sesaham dan dividen khas 1 sen sesaham bagi suku keempat tahun kewangan 2021.

 

Ini menjadikan jumlah bayaran dividen bagi 2021 kepada 15 sen sesaham, merangkumi bayaran RM1.2 bilion atau lebih 70% daripada untung bersih. - DagangNews.com