PUTRAJAYA 12 Dis. - Satu operasi untuk membanteras penjualan barang-barang tiruan telah dijalankan di sebuah bangunan di Jalan Lima, off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur melibatkan 11 Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Ibu Pejabat Putrajaya.
Serbuan yang dilakukan adalah hasil daripada risikan selama hampir 2 bulan oleh Unit Risikan Bahagian ini. Sebanyak 6 premis yang disewa oleh seorang individu telah diserbu di mana premis tersebut telah dijadikan tempat penyimpanan stok-stok minyak wangi tiruan pelbagai jenama. Turut sama dalam serbuan tersebut adalah wakil-wakil dari pemilik cap dagang.
Semasa serbuan, kerja-kerja pembungkusan minyak wangi ke dalam kotak berjenama bagi tujuan pengedaran sedang jalankan oleh pekerja di dalam premis tersebut. Seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing berumur 37 tahun dan 43 tahun yang mengaku bertanggungjawab telah ditahan bagi membantu siasatan.
Berdasarkan keterangan, barangan tiruan tersebut diperoleh dari China dan setelah proses pembungkusan akan diedarkan kepada pemborong-pemborong di sekitar Lembah Klang dan juga melalui jualan dalam talian.
Pemeriksaan hasil serbuan mendapati barang-barang tiruan tersebut merupakan sejumlah 33,272 unit minyak wangi pelbagai jenama seperti Burberry, Gucci, Victoria Secret,Tommy, DKNY, Jo Malone, Michael Kors dan pelbagai jenama lain yang disyaki suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah. Dengan ini, pemilik premis disyaki telah melakukan suatu kesalahan dibawah ACD 2019.
Kesemua barang tersebut telah dirampas untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,762,800.00. Kes disiasat dibawah seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
Jika disabit kesalahan seseorang boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman memberi amaran kepada individu atau syarikat tersebut agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.
"Mana-mana individu mahupun syarikat yang melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan," kata beliau.
.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan ini disarankan supaya melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif. - DagangNews.com