Singapura naik taraf enam frigat kelas Formidable, apa pula rancangan Malaysia pada kapal-kapal peronda kelas Kedah yang sama usia? | DagangNews Skip to main content

Singapura naik taraf enam frigat kelas Formidable, apa pula rancangan Malaysia pada kapal-kapal peronda kelas Kedah yang sama usia?

Frigat kelas Formidable yang dibina berasaskan kapal perang La Fayette milik Perancis.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 20 Dis - Industri pertahanan maritim Singapura terus mempamerkan kebolehan apabila firma ST Engineering Marine Singapura menerima kontrak menaik taraf enam kapal frigat kelas Formidable.

 

Proses naik taraf ini sangat relevan dengan usia kapal yang mencecah 15 tahun.

 

Kapal pertama yang akan dinaik taraf nanti dijangka siap pada tahun 2028 diikuti kapal-kapal seterusnya.

 

ST Engineering Marine ialah anak syarikat ST Engineering iaitu firma pertahanan kejuruteraan maritim Singapura yang berstatus global.

 

Kontrak yang diberikan ini untuk menjalankan sebahagian daripada kerja naik taraf pertengahan hayat (MLU) yang akan dijalankan ke atas kapal-kapal tersebut.

 

Kapal
Enam frigat kelas Formidable yang menjadi tunjang pertahanan maritim Singapura.

 

Menerusi kontrak itu, ST Engineering Marines akan mereka bentuk dan mereka sistem marin serta elektrik baharu kelas itu. 

 

Ini termasuk pengurusan kapal frigat dan sistem penjanaan kuasa.

 

Tentera Laut Republik Singapura (RSN) mengoperasikan enam frigat kelas Formidable yang diterima antara tahun 2007 dan 2009. 

 

Ia dibina berasaskan reka bentuk frigat kelas La Fayette milik Perancis dengan berat sekitar 3,200 tan.

 

Kapal pertama, RSS RSS Formidable dibina di Perancis manakala selebihnya dibina di Singapura menerusi pemindahan teknologi yang dilakukan oleh ST Marine.

 

Kapal
Peluru berpandu Harpoon.

 

Kapal
SSM Blue Spear.

 

RSS Intrepid, RSS Steadfast dan RSS Tenacious telah ditauliahkan pada 2008, manakala dua kapal seterusnya iaitu RSS Stalwart dan RSS Tenacious pada 2009.

 

Dengan menaik taraf kesemua kapal, armada frigat Formidable ini akan terus menjadi tunjang utama dalam kekuatan maritim Singapura.

 

Peningkatan akan dibuat pada senjata dan sistem komunikasi frigat untuk mengekalkan keupayaan serta memenuhi permintaan operasi masa hadapan.

 

Ini termasuklah rancangan menggantikan sistem peluru berpandu antikapal (SSM), Harpoon dengan SSM Blue Spear buatan Israel Aerospace Industries (IAI).

 

SSM Blue Spear merupakan sistem peluru berpandu generasi kelima yang paling moden dan mampu mengenai sasaran permukaan sehingga jarak 290 kilometer.

 

Kapal
Kemampuan frigat Formidable akan lebih berganda apabila siap dinaik taraf.

 

Singapura melalui ST Engineering Land Systems dan IAI telah menubuhkan sebuah syarikat usahasama, Proteus Advanced Systems untuk membangunkan komponen senjata berkenaan.

 

Sebagai sebuah negara yang bergantung ekonomi kepada perdagangan entrepot, Singapura tidak kedekut untuk membelanjakan wang negara demi memastikan ia memiliki pertahanan yang kuat.

 

Antaranya aspek maritim yang mana perairan Selat Melaka menjadi laluan nadi ekonomi republik tersebut.

 

Sekiranya Malaysia turut berfikiran sama seperti negara seberang tambak ini, perkara serupa sepatutnya dilakukan kepada enam kapal peronda kelas Kedah untuk dinaik taraf.

 

Kapal kelas Kedah juga sezaman dengan kapal-kapal kelas Formidable Singapura bermakna tempoh untuk kapal dinaik taraf adalah perlu.

 

Kapal
KD Pahang, satu daripada enam PV kelas Kedah.

 

Sepanjang 15 tahun digunakan, kapal-kapal kelas Kedah hanya melalui proses penyelenggaraan rutin dan tidak melibatkan naik taraf menyeluruh.

 

Ini termasuklah melengkapkan kapal-kapal tersebut dengan sistem persenjataan yang sepatutnya memandangkan ia dibina mengikut konsep senjata boleh dipasang kemudian.

 

Akibatnya, kapal-kapal ini yang mempunyai reka bentuk sebagai korvet hanya melakukan tugas sebagai kapal rondaan sahaja kerana tiada sistem persenjataan yang ampuh.

 

Kapal
Tiba masanya untuk kapal-kapal kelas Kedah dinaik taraf sebagai kapal perang dengan sistem persenjataan terbaik.

 

Pada Oktober tahun lalu, Panglima TLDM masa itu, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany bertegas agar kapal-kapal kelas Kedah dinaiktaraf untuk mengelak ia menjadi kapal perang usang.

 

Ini kerana sebahagian sistem di dalam kapal itu sudah usang dengan alat-alat gantinya sukar diperolehi di pasaran.

 

Antaranya sistem penderia (sensor) dan sistem persenjataan, bagaimana pun semua proses ini tertakluk kepada peruntukan yang disediakan kerajaan.- DagangNews.com