Singapura tangguh kenaikan GST, kenaikan berperingkat pada 2023, 2024 | DagangNews Skip to main content

Singapura tangguh kenaikan GST, kenaikan berperingkat pada 2023, 2024

Kementerian Kewangan Singapura faham kebimbangan rakyat republik itu mengenai kenaikan GST yang dilaksanakan pada masa yang sama dengan peningkatan harga.

SINGAPURA 19 Feb - Singapura telah memutuskan untuk menangguhkan kenaikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 2023 dan menaikkannya secara berperingkat menerusi dua langkah selepas mempertimbang situasi keseluruhan termasuk pandemik COVID-19 yang sedang melanda.

 

Keputusan itu diumumkan oleh Menteri Kewangan republik itu Lawrence Wong ketika menyampaikan Kenyataan Belanjawan Tahun Kewangan 2022 bagi kerajaan Singapura di Parlimen di sini Jumaat.

 

“Mengenai penentuan masa GST, saya telah mempertimbangkan dengan teliti keseluruhan situasi - pandemik yang berlanjutan, keadaan ekonomi kita, dan unjuran bagi inflasi.

 

“Keperluan terhadap perolehan kita adalah mendesak. Tetapi, saya juga faham kebimbangan rakyat Singapura mengenai kenaikan GST yang dilaksanakan pada masa yang sama dengan peningkatan harga,” katanya, lapor Bernama.

 

Wong berkata, kenaikan pertama akan dilaksanakan pada 1 Januari 2023 daripada 7.0% kepada 8.0%, manakala kenaikan kedua pada 1 Januari 2024 daripada 8.0% kepada 9.0%.

 

Beliau berkata, perolehan daripada kenaikan GST itu akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan penjagaan kesihatan dan menjaga warga emas.

 

Menurut menteri berkenaan, kerajaan juga akan mengenakan cukai terhadap kereta mewah pada kadar yang lebih tinggi untuk menjadikan sistem cukai kenderaan yang lebih progresif.

 

 

Lawrence Wong
                                                                           Lawrence Wong

 

 

Wong berkata, satu tambahan peringkat bagi Fi Pendaftaran Tambahan (ARF) akan diperkenalkan untuk kereta pada kadar 220% bagi bahagian nilai pasaran terbuka melebihi S$80,000.

 

ARF tambahan itu dijangka menjana perolehan tambahan berjumlah $50 juta pada setiap tahun, katanya. - DagangNews.com