Sirim, Cradle bantu syarikat pemula dalam teknologi dan pengkomersialan | DagangNews Skip to main content

Sirim, Cradle bantu syarikat pemula dalam teknologi dan pengkomersialan

 

SHAH ALAM 13 Sept – Sirim Berhad, organisasi peneraju dalam teknologi dan penyelesaian kualiti dan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), pempengaruh syarikat permulaan berasaskan teknologi peringkat awal terkemuka menjalin kerjasama stategik yang membolehkan komuniti syarikat pemula (start up) menerima akses kepada teknologi, latihan dan perundingan yang relevan serta perkhidmatan berkaitan kualiti.

 

Melalui kerjasama ini, perkhidmatan yang ditawarkan kepada syarikat pemula meliputi, penilaian teknologi, kajian kebolehlaksanaan tekno-ekonomi, kajian pasaran dan rantaian perniagaan.

 

Selain itu, komuniti syarikat pemula turut ditawarkan akses latihan peningkatan kecekapan dan perundingan dalam bidang kualiti, pengujian, pemeriksaan dan pensijilan bagi pematuhan pasaran.  

 

Kerjasama strategik ini diterjemahkan melalui Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung secara maya hari ini.

 

Sirim Berhad diwakili oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad;  Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle),  diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Rafiza Ghazali dan Cradle Seed Ventures Management Pte Ltd, diwakili oleh Pemangku CEO, Dr Ng Sing Kwei.

 

Hadir sama, Ajmaid Kasim iaitu CEO Sirim Tech Venture Sdn Bhd (STV) - anak syarikat milik penuh SIRIM yang memacu pengkomersialan perniagaan inovasi dari pelbagai sektor teknologi.

 

MoU tersebut akan meningkatkan pengkomersialan perniagaan dalam penerimagunaan teknologi oleh komuniti syarikat pemula melalui Cradle Funding Ecosystem, pembangunan kapasiti yang merangkumi program kesedaran, bimbingan dan kebolehcapaian pasaran melalui platform kerjasama seperti STV’s TECH EcosystemTM.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad, berkata, Sirim berbangga dengan Cradle, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), untuk bekerjasama dengan Sirim dalam meneroka penyelesaian teknologi untuk membantu industri dalam fasa pertumbuhan mereka.

 

“Melalui sistem pembiayaan Cradle, Sirim berharap lebih banyak Komuniti Cradle akan merebut peluang pelaburan teknologi baru dan masa depan melalui pelbagai pembiayaan bagi mencapai pertumbuhan yang diterajui teknologi.

 

‘’Sirim, sebuah organisasi yang terkenal dengan pembuatan teknologi dan program jaminan kualiti akan membantu dan menyediakan penyelesaian teknologi yang diperlukan serta sesuai kepada komuniti itu,” katanya.

 

 

Sirim
Dari kiri (atas) Rafiza Ghazali; Dr Ahmad Sabirin Arshad dan Dr Ng Sing Kwei bersama pegawai kanan lain organisasi masing-masing semasa majlis MoU yang diadakan secara maya di sini, Isnin.

 

 

Sementara itu, CEO Kumpulan Cradle, Rafiza Ghazali berkata, kerjasama strategik bersama Sirim akan mewujudkan peluang yang diperlukan bagi usahawan teknologi tempatan untuk meningkatkan lagi inisiatif pengembangan teknologi dan pengkomersialan mereka.

 

“Bagi pengguna inovasi dan usahawan tempatan, ini merupakan kerjasama yang amat penting. Sumber gabungan, pengetahuan dan pengalaman Cradle dan Sirim akan membawa manfaat kepada komuniti syarikat pemula melalui sokongan dan bimbingan yang dipertingkatkan, seterusnya menolong mereka mengembangkan lagi perniagaan.

 

‘’Kami amat gembira dengan peluang berpotensi melalui usahasama yang ditawarkan kepada usahawan selain dapat bekerjasama dengan syarikat pemula yang inovatif dan kreatif di Malaysia melalui jalinan ini,’’ kata beliau..

 

Rafiza berkata lagi, kerjasama strategik ini akan membolehkan Cradle dan Sirim memanfaatkan kekuatan dan inisiatif sedia ada, seterusnya menawarkan program manfaat kepada syarikat pemula untuk mempertingkatkan perniagaan mereka.

 

‘’Walaupun bekerjasama dengan pengguna inovasi dan usahawan terbaik, kami turut berharap inisiatif ini menjadi pembangunan penting yang dapat dilihat dalam komuniti syarikat pemula di Malaysia saban tahun,” kata beliau. – DagangNews.com