SIRIM, Hitachi Asia pacu PKS industri pembuatan 'berpindah' ke IR4.0 | DagangNews Skip to main content

SIRIM, Hitachi Asia pacu PKS industri pembuatan 'berpindah' ke IR4.0

AHMAD FADZIL MOHAMAD HANI (dua dari kiri), Ahmad Tajuddin Ali (tengah) dan Chew Huat Seng (dua dari kanan) ketika majlis tandatangan MoU antara SIRIM dan Hitachi Asia secara maya hari ini.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - SIRIM Berhad dan syarikat konglomerat dari Jepun di Malaysia, Hitachi Asia (M) Sdn. Bhd. bekerjasama untuk memperkenalkan dan mengatur penyelesaian digital berasaskan awan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam industri pembuatan.

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi sebuah majlis tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua belah pihak hari ini. 

 

Menerusinya, SIRIM sebagai peneraju penyelidikan perindustrian dan penyedia perkhidmatan pengujian, pemeriksaan dan pensijilan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menggunakan penyelesaian digital berasaskan awan dari Hitachi Asia di Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar SIRIM.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, SIRIM komited dalam membangunkan keupayaan dan kapasiti dalam industri bagi mencapai produktiviti yang tinggi dengan menawarkan penyelesaian strategik mengikut trend terkini, mampu milik dan bersesuaian keperluan perusahaan moden.  

 

“Memandangkan adaptasi teknologi masih rendah dalam industri pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia, SIRIM akan mengambil selangkah dalam satu masa untuk membantu industri-industri ini. 

 

“Dalam Penilaian Kesediaan Industri 4WRD MITI yang dijalankan SIRIM pada tahun lalu ke atas 208 PKS pembuatan, lebih daripada 75% didapati pada tahap industri revolusi 2.0 (IR2.0) diikuti IR3.0 (15%). 

 

“Hanya kira-kira 2% pada tahap IR4.0 iaitu daripada sektor-sektor getah dan plastik, makanan dan minuman, cetakan dan penghasilan semula rakaman media dan logam rekaan,” katanya ketika berucap pada majlis tandatangan MoU kerjasama berkenaan secara maya hari ini. 

 

Majlis tandatangan MoU itu ditandatangani oleh Ahmad Fadzil yang mewakili SIRIM dan Pengarah Urusan Hitachi Asia (M), Chew Huat Seng, disaksikan oleh Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali serta Duta Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi yang terlibat dari lokasi berbeza. 

 

Sebagai inisiatif awal, SIRIM dan Hitachi Asia akan bekerjasama dalam penyelesaian digital berasaskan awan di Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar SIRIM yang meliputi:

 

  • Sistem Pengurusan Penyelenggaraan Berkomputer (CMMS) - Sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer akan diperkenalkan kepada PKS dalam industri pembuatan

 

  • Rangkaian Bekalan Digital / Kawalan Kualiti (DSC / QC) - Penyelesaian kawalan kualiti rantaian bekalan digital kepada PKS dalam industri pembuatan akan diperkenalkan berdasarkan pengetahuan dan teknologi berkaitan rantaian bekalan global Hitachi

 

  • PSI Visualizer (PSIV) - Penyelesaian analisis inventori kepada PKS dalam bidang pembuatan

 

Tambah Ahmad Fadzil, SIRIM dan Hitachi Asia bakal mengeluarkan kertas rancangan kerja seawal tahun hadapan untuk menggerakkan industri ke arah IR4.0.

 

“SIRIM tidak mempunyai sasaran ketika ini berhubung jumlah PKS yang akan mengadaptasi IR4.0 menerusi kerjasama ini, tetapi kami akan bekerjasama dengan Hitachi Asia untuk menghasilkan rancangan kerja pada awal tahun hadapan, dengan harapan untuk meletakkannya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” tambahnya dalam sidang akhbar selepas majlis MoU berkenaan. 

 

Baca : Sektor sedang membangun Malaysia jadi tarikan pelabur Jepun

 

Dalam pada itu, Huat Seng berharap usaha itu dapat menarik semua syarikat Jepun terlibat dalam inisiatif berkenaan untuk menyokong PKS Malaysia. 

 

“Saya sangat percaya, Malaysia masih merupakan sebuah negara yang penting bagi sektor pembuatan buat syarikat Jepun. Oleh itu, saya berharap dengan meggunakan teknologi Jepun dan menerusi inisiatif ini, kita akan terus dapat menyokong semua PKS di Malaysia. 

 

“Sudah tentu, PKS di Malaysia perlu mengambil inisiatif ini dan adapatasi ke dalam IR4.0 dari IR2.0 dan IR3.0,” katanya. - DagangNews.com