Sirim STS, UTM meterai MoU bentuk kerjasama strategik latihan profesional | DagangNews Skip to main content

Sirim STS, UTM meterai MoU bentuk kerjasama strategik latihan profesional

 

SHAH ALAM 23 Ogos - Anak syarikat milik penuh Sirim, Sirim STS Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bagi mewujudkan kerjasama strategik dalam bidang latihan profesional. 

 

Melalui persefahaman ini, kedua-dua pihak akan membangunkan modul latihan untuk program profesional yang diperakui, bekerjasama dalam bidang penyelidikan terpilih, selain mengadakan pertukaran dan pembangunan kakitangan. Sirim STS juga akan bekerjasama dengan UTM untuk melaksanakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat.

 

Sirim STS juga akan memperkenalkan program Sirim Certified Quality Professional (CQP) kepada pelajar Sarjana Sains Kejuruteraan Perindustrian (MScIE) di UTM, yang menjadikan UTM sebagai universiti awam pertama yang menawarkan CQP kepada pelajar program sarjananya.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim Berhad, Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, Sirim STS berharap dapat menyediakan pengiktirafan profesional kepada individu yang berjaya menamatkan program ini.

 

“Diharapkan kumpulan ini dapat membangunkan kepakaran tempatan dalam amalan kualiti untuk memenuhi permintaan industri,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU yang diadakan secara maya hari ini.

 

Pada majlis tersebut, Dr Ahmad Sabirin mewakili Sirim STS manakala UTM diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

 

 

Sirim

 

 

CQP adalah pekerja yang bertanggungjawab melaksanakan aktiviti berkaitan kualiti dalam organisasi dengan menggunakan prinsip dan alat-alat kualiti. Mereka merupakan pakar rujuk Pengurusan Kualiti kepada organisasi tempat kerjanya yang telah mempelajari kaedah terkini dalam Pengurusan Kualiti dan amalan terbaik industri.

 

 Dr Ahmad Sabirin berkata, kerjasama UTM-Sirim STS dapat menyokong usaha melahirkan siswazah yang mempunyai nilai tambah sebagai profesional diperakui seterusnya membantu pertumbuhan nasional modal insan industri tempatan agar lebih kompetitif dan berdaya saing di peringkat global.

 

“Kami amat berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama dengan UTM yang merupakan sebuah universiti mapan dan sentiasa mengambil pelbagai inisiatif bagi mengukuhkan hubungan perindustriannya ke arah peningkatan aktiviti akademik dan penyelidikan,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sirim STS, Raja Yahya Raja Ariffin berkata, program CQP secara bersemuka dijangka mula dilaksanakan di UTM pada Oktober 2021 selama tiga semester. Program secara atas talian telah bermula sejak Mac 2020 dan sehingga ini, seramai 18 orang pelajar MScIE telah ditawarkan untuk mengikuti program berkenaan.

 

“Hubungan baik UTM dan Sirim STS telah terjalin sejak 2017 lagi di mana pihak kami turut dijemput sebagai ahli panel penasihat industri bagi Program Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Industri) dan Program Sarjana Sains (Kejuruteraan Industri) universiti berkenaan. Sirim STS juga turut terbabit dalam pelbagai program taklimat industri anjuran UTM,” katanya.

 

Menurut beliau, sebelum ini program CQP Sirim STS telah dilaksanakan di dua universiti swasta iaitu Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan AIMST University Malaysia. Sehingga kini, Sirim STS telah mentauliahkan 451 individu melalui pelbagai Sirim Personnel Certification Program di mana 50 daripada mereka telah ditauliahkan sebagai CQP. - DagangNews.com