Sistem ICT kerajaan ‘giat’ diceroboh, catat 3,836 kes - MKN | DagangNews Skip to main content

Sistem ICT kerajaan ‘giat’ diceroboh, catat 3,836 kes - MKN

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Sepanjang tahun 2020, terdapat peningkatan bilangan kes insiden siber yang dilaporkan oleh organisasi sektor awam, kata Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

 

Setakat 30 November 2020, jumlah insiden siber yang dilaporkan oleh agensi adalah sebanyak 3,836 insiden di mana 31.5% kes adalah melibatkan pencerobohan dan 53.19% kes melibatkan jangkitan malware

 

MKN berkata, insiden siber itu boleh menjejaskan imej dan reputasi agensi yang seterusnya memberi kesan negatif kepada kepercayaan pemegang taruh (stakeholder) dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan. 

 

“Serangan Advanced Persistent Threat (APT), ransomware dan pencerobohan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerajaan adalah isu serius yang perlu diatasi kerana ia boleh menyebabkan berlakunya ketirisan maklumat strategik, menjejaskan operasi dan mencalar imej. 

 

“Kesannya, keselamatan dan kedaulatan negara terjejas, ekonomi dan kestabilan politik tergugat serta kesejahteraan rakyat terancam,” kata majlis itu dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Lanjutan daripada pelancaran Strategi Keselamatan Siber Malaysia atau Malaysia Cyber Security Strategy (MCSS), kerajaan telah mewujudkan satu struktur tadbir urus keselamatan siber. 

 

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) telah diadakan pada hari ini yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dipertanggungjawabkan ke atas pengurusan keselamatan siber negara. 

 

Tambah MKN, antara keputusan-keputusan penting yang telah dipersetujui dalam mesyuarat itu adalah kerajaan akan menubuhkan satu kumpulan kerja bagi menyelaras inisiatif penilaian dan pengukuhan keselamatan siber terhadap agensi-agensi sektor awam kritikal yang terpilih. 

 

“Bagi fasa pertama, 16 agensi telah dikenal pasti untuk pelaksanaan inisiatif ini.

 

“Kerajaan akan menggubal undang-undang mengenai keselamatan siber. 

 

“Bagi tujuan itu, satu Pasukan Petugas Khas akan diwujudkan bagi mengenal pasti dan mengkaji isu-isu berkaitan keselamatan siber,” ujar majlis itu. - DagangNews.com