MELAKA 8 April - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) komited memperkasakan perniagaan dalam talian bagi membantu membangunkan dan mengaktifkan semula koperasi yang terjejas sebelum ini akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Haron berkata, hampir 60 koperasi terjejas akibat pandemik dan hampir 30% daripada 14,600 koperasi yang didaftarkan dikategorikan sebagai tidak aktif.
"Mungkin ini cara terbaik bagi menaikkan semangat terutama koperasi yang berada dalam keadaan 'dormant' atau tidak aktif.
"Pada masa sama kita cuba lihat mana-mana peraturan yang boleh dilonggarkan supaya aktiviti koperasi dapat dipertingkatkan," katanya selepas majlis Makan Malam dan Beramah Mesra bersama pengamal media Melaka, malam tadi, lapor Bernama.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Pengarah SKM Melaka Mohd. Firdaus Shaari.
Zazali berkata, suntikan bantuan menerusi program pemulihan sebanyak RM20 juta juga akan membantu menambah pendapatan koperasi serta dapat mengurangkan jumlah koperasi yang tidak aktif.
Beliau berkata, kaedah perniagaan dalam talian itu berpotensi diperluaskan ke koperasi bersasar kumpulan rendah seperti B40 yang ditubuhkan di kawasan perumahan golongan tersebut.
"Seperti kawasan pangsapuri, koperasi boleh buat kedai runcit. Atau yang seperti sebelum ini kita rancang mewujudkan sebanyak 300 koperasi masjid pada tahun ini," katanya. - DagangNews.com