SKMM perluas kerjasama tingkatkan kesedaran vaksinasi | DagangNews Skip to main content

SKMM perluas kerjasama tingkatkan kesedaran vaksinasi

Vaksinasi COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tampil bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran dan menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

SKKM dalam satu kenyataan berkata, kerjasama yang dijalinkan dengan Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) selaku pusat tumpuan utama membolehkan bahan-bahan serta pesanan penting oleh kerajaan disampaikan kepada pihak penyiaran TV dan radio swasta.

 

Selain turut bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), SKKM turut menjalinkan kerjasama dengan 14 penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

 

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi tersebut adalah ALTEL, Celcom, Digi, Maxis, Merchantrade, Pavocomms, Redtone, Telekom Malaysia, TIME, Tune Talk, U Mobile, Webe, XOX dan YTL.

 

Usaha itu dibuat bagi menyampaikan mesej-mesej kesedaran berkaitan vaksinasi menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan platform media sosial secara meluas ke seluruh negara.

 

"Sepanjang tempoh antara bulan Mac sehingga Mei 2021, sebanyak 71,871 Pesanan Khidmat Awam (PKA)/hebahan telah disiarkan oleh pihak penyiaran TV dan radio swasta kepada orang awam. Hebahan-hebahan tersebut turut disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan BERNAMA. 

 

"Sementara itu, sebanyak 21 jenis hebahan yang berkaitan dengan vaksinasi telah dihantar kepada 44 juta pelanggan perkhidmatan syarikat telekomunikasi melalui SMS," jelas SKMM.

 

Selain menggunakan hebahan melalui kaedah PKA dan SMS, SKKM turut menggerakkan 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) seluruh negara untuk membantu orang awam terutamanya warga emas yang menghadapi kesukaran mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 melalui aplikasi My Sejahtera serta tidak mempunyai liputan internet yang memuaskan. 

 

Melalui usaha itu, seramai 15,327 individu telah mendapatkan khidmat bantuan bagi pendaftaran vaksin di PIK seluruh negara setakat 20 Jun baru-baru ini.

 

"SKMM akan berterusan mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi menggerakkan PICK menerusi hebahan media massa bagi memupuk kesedaran orang ramai tentang kepentingan vaksin," ujar SKMM lagi.  - DagangNews.com