SKP Resources diramal catat pendapatan positif pada 2QFY25 disokong pengurusan kos lebih baik | DagangNews Skip to main content

SKP Resources diramal catat pendapatan positif pada 2QFY25 disokong pengurusan kos lebih baik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - SKP Resources Bhd diramal mencatatkan momentum pendapatan positif pada 2QFY25 disokong pengurusan kos lebih baik serta prestasi jualan yang lebih tinggi.

 

RHB Investment berkata, sebahagian besarnya akan disokong normalisasi pesanan daripada Pelanggan X daripada pelarasan invesntori pada 2023.

 

Katanya, firma perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu dijadualkan memulakan barisan pengeluaran bagi dua pelanggan baharu pada Oktober 2024.

 

"Walaupun sumbangan pendapatan mungkin tidak dapat direalisasikan pada FY25, pertambahan pelanggan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) boleh membawa kepada volum pesanan yang lebih ketara dalam FY26.

 

"Pengurusan memberi gambaran nilai jualan ebanyak RM100 juta pada tahun pertama dan potensi peningkatan dua kali ganda pada tahun kedua.

 

"Di samping itu, perbincangan sedang berjalan dengan beberapa bakal pelanggan baharu dan SKP yakin akan menerima sekurang-kurangnya satu pelanggan menjelang akhir 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 31.3% kepada RM28.34 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2024 (1QFY25) berbanding RM21.59 juta manakala hasil bagi suku tersebut melonjak 17.1% kepada RM505.53 juta daripada RM431.61 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

RHB Investment berkata, pihaknya menyukai SKP sebagai proksi bagi memanfaatkan pemulihan permintaan global untuk elektronik pengguna dan peluang daripada perang perdagangan antara AS-China.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga RM1.31 sesaham. - DagangNews.com