KUALA LUMPUR 13 Jun - SNS Network Technology Bhd yang tersenarai di Pasaran ACE telah melengkapkan proses pemindahan penyenaraian modal saham sebanyak RM1.61 bilion ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, hari ini.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, pemindahan itu akan mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam kalangan pelanggan, pembekal, rakan perniagaan, pekerja serta pemegang sahamnya dan seterusnya mengukuhkan asas pemegang saham syarikat, terutamanya dalam kalangan pelabur institusi.
Pengarah Urusan SNS Network, Ko Yun Hung optimis mengenai prospek perniagaan syarikat dalam beberapa tahun akan datang, di tengah-tengah permintaan yang semakin meningkat untuk pelayan super kecerdasan buatan (AI) daripada beberapa firma teknologi.
"Lebih banyak pusat data akan ditubuhkan di negara ini, terutamanya di Cyberjaya, Kuala Lumpur dan Johor, kami menjangkakan permintaan untuk pelayan super AI akan terus kukuh dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Yun Hung berkata, sejak dua tahun lepas, industri teknologi maklumat dan komunikasi telah menyaksikan penggunaan AI.
Beliau berkata, AI generatif adalah pada permulaan kitaran super dalam landskap teknologi, dan bersedia untuk menggantikan dua kitaran super sebelumnya yang diterajui oleh internet mudah alih pada 2010-an, dan pengkomputeran awan yang memuncak pada 2015-2020.
Permulaan kitaran AI telah membuka pelbagai peluang di Malaysia, seperti pembinaan, ujian dan pentauliahan, serta operasi serta pengurusan pusat data.
“Melihat ke hadapan, masa depan SNS Network bukan sahaja cerah tetapi sangat pelbagai. Kami menyedari bahawa saluran komersial kekal sebagai penyumbang terbesar kepada hasil kami dengan lebih 80% pada tahun kewangan terakhir berakhir 31 Jan 2024 (FY24).
“Kami kekal positif terhadap pasaran runcit pada masa hadapan. Permintaan yang didorong oleh transformasi digital serta penggunaan AI dijangka kukuh.
“Oleh itu, rancangan kami untuk membuka kedai runcit di seluruh Malaysia kekal utuh, dan akan menambah kepada 60 kedai jenama kami, tujuh kedai konsep pelbagai jenama dan 12 kaunter jualan pihak ketiga,” katanya. - DagangNews.com