SNS Network Technology meterai perjanjian taja jamin IPO bersama M&A Securities | DagangNews Skip to main content

SNS Network Technology meterai perjanjian taja jamin IPO bersama M&A Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - SNS Network Technology Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd. sempena dengan pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

IPO itu membabitkan terbitan awam sebanyak 362.9 juta saham baharu dalam SNS, mewakili 22.5% daripada modal saham yang diperbesarkan dan tawaran untuk jualan sebanyak 48.4 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Daripada 362.9 juta saham baharu, 80.6 juta saham disediakan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian; 48.4 juta saham untuk Pengarahnya yang layak, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kumpulan SNS di bawah Peruntukan Borang Merah Jambu.

 

Sejumlah 201.6 juta saham baharu dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) manakala baki 32.3 juta saham baharu akan ditempatkan kepada pelabur terpilih.

 

Pembekal sistem dan penyelesaian ICT itu berkata, M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 129 juta saham yang disediakan untuk permohonan oleh peruntukan Borang Merah Jambu.

 

Pengarah Urusan SNS, Ko Yun Hung berkata, penyenaraian itu tepat pada masanya bagi membolehkan pihaknya memanfaatkan pasaran modal ekuiti untuk mengumpul dana bagi mempercepatkan pertumbuhan aktiviti perniagaan teras.

 

"Pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021 telah menyebabkan kerajaan mengenakan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan virus itu. Ini telah meningkatkan permintaan untuk produk dan perkhidmatan ICT kerana pengaturan bekerja dari rumah dan kelas dalam talian untuk pelajar.

 

"Pandemik ini juga menjadi pemangkin kepada penerimaan pantas dan pelaksanaan inisiatif pendigitalan dalam perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu untuk kelestarian perniagaan," katanya.

 

Modal diraih daripada IPO itu akan digunakan untuk perbelanjaan modal untuk mengembangkan perkhidmatan berasaskan langganan DaaS Syarikat itu dan untuk membiayai sebahagian pembinaan Hab Serantau Syarikat yang baharu.

 

SNS dijadualkan akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang September 2022. - DagangNews.com