Softnet Technologies perkasakan perniagaan IT bersempena ulang tahun ke-20 | DagangNews Skip to main content

Softnet Technologies perkasakan perniagaan IT bersempena ulang tahun ke-20

Pengasas dan Pengarah Urusan Softnet, Hamdan Akram
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 8 Jun  — Softnet Technologies meraikan pencapaian dua dekadnya dengan memperkenalkan jenama-jenama tanah air ke tahap antarabangsa dalam meningkatkan produktiviti melalui proses teknologi maklumat (IT) yang komprehensif.

 

Sebagai perintis dalam bidang perkhidmatan teknologi inovatif dan penyelesaian pemasaran hujung ke hujung, Softnet bakal melancarkan perkhidmatan baharu yang membolehkan organisasi untuk mengautomasikan sistem penting bagi meningkatkan lagi kecekapan sekaligus mengurangkan kos pada setiap proses, dari tenaga kerja sehinggalah kepada logistik.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Softnet, Hamdan Akram merupakan tunjang utama yang memperkenalkan proses pemasaran digital yang membolehkan perniagaan untuk meluaskan lagi jangkauan mereka dan menawarkan perkhidmatan yang utuh kepada pelanggan.

 

“Apabila sesebuah organisasi menghubungi kami untuk meningkatkan lagi proses sistem mereka, kami sering diberitahu bagaimana agensi sebelum ini telah membantu mereka meningkatkan salah satu sektor operasi mereka, manakala sektor lain pula agak ketinggalan.

 

“Itulah yang ingin kami atasi, dengan mewujudkan cara untuk menghasilkan sistem lengkap yang boleh memenuhi segala keperluan pelanggan kami,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

“Apabila pertama kali kami berjumpa pelanggan, kami mengambil masa untuk bertanya sebanyak mungkin soalan yang perlu untuk benar-benar memahami isu dan harapan mereka.

 

“Kami tidak menawarkan penyelesaian yang telah pun sedia ada. Setiap projek adalah unik dan direka khas daripada peringkat awal kerana setiap masalah adalah berbeza,’’ ujarnya.

 

Sebagai contoh kata beliau, syarikat pengeluaran tepung di Malaysia meminta Softnet menilai aliran operasi logistik mereka untuk melihat bagaimana sistem tersebut boleh ditambah baik.

 

“Kami mendapati bahawa melalui pelan automasi terperinci, kami boleh mengurangkan jumlah trak yang diperlukan untuk mengangkut barang daripada lapan trak kepada enam trak sahaja,” jelasnya.

 

Pelanggan lain pula mahu mewujudkan cara untuk kakitangan mereka mengakses maklumat gaji dan menghantar permohonan cuti yang selaras dengan sistem pengurusan bahagian Sumber Manusia.

 

“Program kami direka untuk saling melengkapi setiap keperluan pelanggan secara intrinsik dan membolehkan syarikat mengurangkan pertindihan dan meningkatkan kecekapan.”

 

 

softnet

 

 

Memandangkan setiap pelanggan mempunyai keperluan khusus, Softnet melantik pakar dalaman syarikat yang dikenali sebagai Arkitek Digital.

 

Arkitek ini membangunkan pemahaman yang mendalam dan holistik bagi setiap masalah yang dihadapi dan membolehkan Softnet mencadangkan strategi masa hadapan yang bukan sahaja menyelesaikan isu, tetapi meningkatkan keseluruhan sistem secara berterusan.

 

Penyelesaian ini termasuklah memperkemaskan kebolehgunaan e-dagang, penjanaan laluan penghantaran dan automasi proses perkhidmatan pelanggan.

 

Antara perkhidmatan baharu yang akan diperkenalkan oleh Softnet termasuklah pembangunan sistem WhatsApp API yang membolehkan jenama menjalankan soal selidik, mengumpul maklum balas dan memperoleh data analisis melalui proses automasi penuh dan mesra pengguna.

 

Dengan penggunaan aplikasi berkuasa Meta oleh lebih dua juta pengguna di seluruh dunia, ini menjadikan ia platform mesej nombor satu di dunia.

 

Pembangunan oleh Softnet ini membolehkan syarikat-syarikat memperkemaskan lagi perkhidmatan mereka pada masa yang sama menggalakkan penggunaan penuh data bernilai yang telah mereka peroleh.

 

Dalam tempoh 20 tahun ini, syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur ini telah mengembangkan operasinya dengan memberi perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh dunia.

 

Antara projek yang boleh dibanggakan termasuklah pembangunan portal pelancongan Tourism Malaysia, KPJ Healthcare dan Healthshoppe, portal uji bakat Genting dan sistem pengurusan kontrak dan UI/UX untuk aplikasi mudah alih kakitangan.

 

Syarikat turut memberi perkhidmatan kepada syarikat dan agensi terkemuka seperti Philips, Signify, Nestlé, Unilever, Shell, PIDM, Wunderman Thompson, Cyberview, dan Futurise. DagangNews.com