Sokong saranan guna Akta SOSMA, POCA, AMLA untuk tangani masalah rokok seludup di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Sokong saranan guna Akta SOSMA, POCA, AMLA untuk tangani masalah rokok seludup di Malaysia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 Okt – Gesaan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mudin Pitchay, supaya menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membanteras kegiatan jenayah berkaitan sindiket perlu diberi pertimbangan dan sokongan sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia, agensi penguatkuasaan undang-undang dan orang ramai.

 

Bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dr Yusoff Nook menyuarakan pandangan yang sama dengan Timbalan KPN bahawa undang-undang penyeludupan rokok dan minuman keras semasa kurang berkesan dalam membendung kegiatan itu.

 

“Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kelaziman rokok seludup tertinggi di dunia, di mana 6 daripada 10 rokok yang dijual di negara ini tidak dikenakan cukai dan tidak mematuhi mana-mana undang-undang atau peraturan.

 

“Malangnya, ini bukan masalah baharu. Selama hampir sedekad, Malaysia telah kehilangan sejumlah besar wang dalam cukai tidak dikutip kepada jenayah ekonomi ini, yang kini meningkat sebanyak RM5 bilion setahun,” tambah Datuk Dr. Yusoff.

 

 

Datuk Dr Yusoff Nook
        Datuk Dr Yusoff Nook

 

 

Beliau juga berkata melalui pengalamannya sendiri, terdapat kes di mana individu telah ditangkap beberapa kali kerana menyeludup tetapi masih bebas dan terus melakukan kegiatan jenayah mereka.

 

"Jelas sekali, kita memerlukan undang-undang yang mempunyai lebih banyak komponen untuk menangani sindiket jenayah, terutamanya ketua dan dalang mereka," sambung Datuk Dr. Yusoff.

 

Selain SOSMA, Datuk Dr. Yusoff turut mengesyorkan penggunaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) terhadap ketua sindiket jenayah ini.

 

POCA memberikan kuasa kepada polis untuk menangkap dan menahan seseorang sehingga 60 hari tanpa pertuduhan atau perbicaraan, yang beliau percaya adalah undang-undang yang ideal untuk digunakan terhadap dalang rokok seludup.

 

AMLA memberikan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwa raya kuasa penyiasatan yang luas, termasuk keupayaan untuk membekukan dan merampas hartanah mereka yang terlibat atau disyaki dalam kesalahan pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan, serta keupayaan mahkamah untuk merampas harta yang diperoleh daripada hasil jenayah berat.

 

“Sebagai sebahagian daripada komuniti penguatkuasa undang-undang, saya amat kecewa melihat pegawai yang berdedikasi dari agensi penguatkuasaan undang-undang kita mempertaruhkan nyawa dan anggota mereka untuk melakukan serbuan dan membuat tangkapan dan kemudian melihat penjenayah ini berjalan pergi tanpa sebarang kesalahan disabitkan,” keluhnya.

 

“Selain membanteras sindiket jenayah secara menyeluruh, undang-undang yang lebih teguh dan proaktif juga boleh meningkatkan semangat pegawai penguatkuasa undang-undang, meningkatkan integriti dan melindungi rakyat dengan lebih baik daripada kesannya,” tambahnya.

 

Menurut Datuk Dr. Yusoff, adalah sama penting untuk menyediakan latihan kepada semua pegawai, termasuk polis, mengenai undang-undang berkaitan serta membina dan meningkatkan keyakinan. Latihan itu juga perlu merangkumi akauntabiliti dan tanggungjawab penguatkuasa, yang membentuk asas yang kukuh dalam tugas mereka.

 

 

irsyad

 

 

Datuk Dr. Yusoff turut menjelaskan faktor utama yang mendorong pengedaran produk seludup adalah disebabkan faktor permintaan.

 

“Perokok tertarik dengan rokok seludup kerana ia jauh lebih murah berbanding produk sah. Margin terlalu lumayan untuk diabaikan oleh sindiket jenayah. Adalah penting bagi Kerajaan untuk meneroka dasar untuk menangani permintaan rokok seludup yang murah.”

 

“Jika kita boleh mencari jalan untuk membantutkan bekalan dan menangani faktor permintaan, isu rokok seludup akan menjadi sejarah,” katanya. - DagangNews.com