Solarvest dapat kontrak projek solar RM66 juta di Perak | DagangNews Skip to main content

Solarvest dapat kontrak projek solar RM66 juta di Perak

 

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Solarvest Holdings Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM66 juta dari Grooveland Sdn. Bhd. bagi pembangunan loji jana kuasa solar photovoltaic berskala besar (LSSPV) berkapasiti 17.36MW di Mukim Bota, Perak. 

 

Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuh Solarvest, Atlantic Blue Sdn Bhd (ABSB) yang dilantik sebagai kontraktor utama kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCC) projek tersebut.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, Grooveland secara prinsipnya adalah syarikat pegangan pelaburan dan projek itu akan bermula sejurus perjanjian EPCC dimuktamadkan.

 

"Sementara menanti pelaksanaan perjanjian ini, kedua-dua pihak (ABSB dan Grooveland) hendaklah menyiapkan reka bentuk projek seperti yang digambarkan dalam perjanjian EPCC," katanya hari ini.

 

Solarvest menjangkakan projek tersebut akan menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham serta kumpulan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 dan seterusnya sehingga projek itu diselesaikan.

 

Sementara itu, dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, permintaan solar terus berkembang kukuh dan menunjukkan trajektori menaik di sebalik landskap operasi yang mencabar.

 

Katanya, dalam masa sama, ia menyaksikan industri solar di negara ini semakin menjadi tumpuan pelabur memandangkan Asia Tenggara bakal muncul sebagai gerbang pertumbuhan utama serantau.

 

"Prospek Solarvest adalah cerah dan positif menjangkaui Malaysia. Malah, penglibatan kami dalam pasaran antarabangsa seperti Taiwan dan Filipina dijangka berjalan lancar dengan keputusan tender akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

 

Kedua-dua negara itu menyumbang kepada kapasiti 1,000MW nilai projek. Kumpulan menjangkakan apabila pendapatan dari Taiwan dan Filipina mula membuahkan hasil, ia akan terus melonjakkan pertumbuhan Solarvest pada masa hadapan.

 

Setakat 3.11 petang ini, saham Solarvest susut 1.42% kepada RM1.39 dengan 352,200 saham diniagakan. - DagangNews.com