Solarvest raih kontrak solar fotovoltaik bagi kemudahan Dexcom di Batu Kawan | DagangNews Skip to main content

Solarvest raih kontrak solar fotovoltaik bagi kemudahan Dexcom di Batu Kawan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Julai - Solarvest Holdings Berhad telah memperoleh kontrak dengan Dexcom Malaysia Sdn Bhd (Dexcom) untuk memasang sistem solar fotovolatik (PV) berkapasiti 3.6 MWp (megawatt puncak) di kemudahan pembuatannya dekat Batu Kawan, Pulau Pinang.

 

Kemudahan pembuatan tersebut akan menjadi kemudahan pertama syarikat induk Dexcom yang berpangkalan di Amerika Syarikat, DexCom Inc. iaitu pembekal terkemuka industri dalam sistem pemantauan glukosa berterusan.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Solarvest berkata ia bertanggungjawab sebagai penyedia kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi pemasangan solar PV di atas bumbung untuk kemudahan bangunan utama dan tempat letak kereta.

 

Dengan jangkaan penjanaan tenaga bersih 3.6 MWp, kumpulan itu berkata ia membolehkan Dexcom mengimbangi 3,190 tan karbon dioksida.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata kemudahan tersebut dijangka menyumbang kepada inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pengembangan luar negara Dexcom sambil mengoptimumkan kos operasi.

 

 

Davis Chong Chun Shiong
Davis Chong Chun Shiong

 

 

“Pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap kepentingan kemampanan operasi perniagaan telah membawa kepada lonjakan dalam penggunaan tenaga bersih oleh korporat.

 

“Ini menyebabkan saluran kerja kami kekal kukuh, dengan buku tender kira-kira 2.5 gigawatt (GW) di seluruh Malaysia, Taiwan, Filipina, Vietnam, Indonesia, Singapura dan Thailand,” ujar beliau.

 

Menurut beliau, kumpulan itu menyasarkan untuk meningkatkan buku pesanan belum dibilkan, yang kini bernilai RM550 juta, dengan memanfaatkan pelepasan kuota aset solar PV 800 MW di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

Turut mengulas perkara tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata pelaburan berterusan Dexcom dalam meningkatkan operasinya sejajar dengan matlamat bercita-cita tinggi Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050.

 

“Dengan tumpuan kepada prinsip ESG, ia dijangka akan merangsang pertumbuhan yang mampan dan menangani cabaran mendesak perubahan iklim dengan berkesan,” katanya. - DagangNews.com