Solarvest raih projek pemasangan solar 12MWp di Vietnam, intai peluang projek tenaga angin | DagangNews Skip to main content

Solarvest raih projek pemasangan solar 12MWp di Vietnam, intai peluang projek tenaga angin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept - Solarvest Holdings Berhad berjaya memperoleh projek pemasangan solar atas bumbung berjumlah 12.8 megawatt puncak (MWp) di Vietnam.

 

Kumpulan itu juga meneroka projek tenaga angin bagi merebut peluang di negara itu, serta menerokai penyimpanan bateri untuk meningkatkan kecekapan projek tenaga boleh diperbaharuinya di sana.

 

Pengumuman itu susulan kemenangan Solarvest di Singapura dan Brunei baru-baru ini yang berjumlah 4MWp projek solar atas bumbung pada bulan Julai selain turut mencari peluang untuk meneroka kerja-kerja di Taiwan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Davis Chong Chun Shiong berkata, buku tender projek luar negara syarikat itu kini berjumlah 620MWp, kata 

 

“Kami gembira dengan kemajuan usaha pengembangan luar negara kami, yang sejajar dengan pelan hala tuju strategik lima tahun kami.

 

“Prospek dalam pasaran tenaga bersih Vietnam sangat menjanjikan, dengan komitmennya untuk beralih daripada arang batu seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Tenaga Negara Vietnam Lapan (PDP8),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, Kerajaan Vietnam telah memperkenalkan mekanisme untuk memberi insentif kepada pembangunan sistem tenaga solar atas bumbung, dengan visi melengkapkan separuh daripada bangunan pejabat dan kediaman negara dengan panel solar atas bumbung menjelang 2030.

 

Di bawah PDP8 yang diluluskan pada Mei tahun ini, sasaran kapasiti solar 2030 Vietnam telah ditetapkan pada 12.84 gigawatt atau 8.5% daripada jumlah sasaran kapasiti tenaga.

 

Antara mekanisme yang dicadangkan oleh kementerian perdagangan Vietnam pada bulan Jun termasuk menyediakan kapasiti solar atas bumbung tanpa had, serta pengecualian cukai.

 

“Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan strategik kumpulan, kami sedang mara ke seluruh rantaian nilai sebagai pemaju tenaga bersih yang komprehensif untuk projek luar negara.

 

“Memandangkan tumpuan kepada tenaga suria dan angin dalam PDP8, dengan tenaga suria dan angin diunjurkan masing-masing menyumbang kira-kira 34% dan 27% daripada kapasiti terpasang 500GW, kami sedang giat meneroka projek tenaga angin di samping usaha niaga solar kami yang sedang berjalan di Vietnam, ” katanya.- DagangNews.com