Sony kurangkan pengeluaran PS5 ekoran masalah cip | DagangNews Skip to main content

Sony kurangkan pengeluaran PS5 ekoran masalah cip

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Sony Corporation (Sony) mengurangkan pengeluaran PlayStation 5 (PS5) sebanyak 4 juta unit kepada kira-kira 11 juta pada tahun ini.

Langkah itu adalah susulan sistem cip yang direka untuk konsol baharu mempunyai masalah. 

Sony sebelum ini meningkatkan tempahan pembekal bagi memenuhi lonjakan permintaan permainan itu memandangkan orang ramai meluangkan banyak masa di rumah ekoran penularan COVID-19.

“Tetapi, syarikat itu berdepan isu pembuatan seperti hasil pengeluaran serendah 50% bagi sistem cip yang sekali gus ‘membantutkan’ keupayaan syarikat itu mengeluarkan lebih banyak konsol.

“Hasil telah meningkat secara beransur-ansur tetapi belum mencapai tahap yang stabil,” jelas sumber seperti dipetik Bloomberg. 

Ekoran perkara berkenaan, keuntungan saham Sony merudum sehingga 3.5%, penurunan tertinggi sejak Ogos lalu. 

Menurut Bloomberg, jurucakap Sony enggan memberi sebarang ulasan lanjut. 

Sony terus dihimpit tekanan apabila pesaing terdekat, Microsoft Corporation pada minggu lalu mendedahkan harga bagi konsol canggih mereka bernilai AS$299 bagi  Xbox Series S dan Xbox Series X (AS$499).

Pada awal tahun 2020, Sony berhasrat meneruskan rancangan pembuatan konservatif PS5, bagaimanapun berdepan isu penetapan harga bagi konsol baharu yang bakal dikeluarkan. 

Pandemik COVID-19 mendorong penilaian lebih baik terhadap ramalan syarikat berkenaan setelah langganan perkhidmatan PlayStation Plus dan jualan 'The Last of Us: Part II and Ghost of Tsushima' menerima sambutan menggalakkan. - DagangNews.com