SOP kelapa sawit: Sabah bakal rugi RM190 juta seminggu, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

SOP kelapa sawit: Sabah bakal rugi RM190 juta seminggu, kata CGS-CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Sabah antara negeri yang menyumbang kepada hasil kelapa sawit tertinggi bakal berdepan kerugian sebanyak RM152 juta hingga RM190 juta setiap minggu di bawah prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditetapkan di ladang komoditi negeri itu. 

Sebelum ini, kerajaan negeri Sabah pada Selasa lalu mengumumkan bahawa perniagaan yang melibatkan sektor kelapa sawit perlu dihadkan kepada separuh daripada tenaga kerja sedia ada sekiranya mempunyai lebih 10 pekerja.

Selain itu, SOP berkenaan turut mengehadkan tempoh masa bekerja di pengisaran kelapa sawit selama 12 jam. 

CGS-CIMB Research menjangkakan SOP berkenaan mendorong kemerosotan hasil buah kelapa sawit dari Sabah sekali gus menyebabkan kadar penggunaan kemudahan hiliran yang lebih rendah. 

Pada tahun lalu, Sabah menghasilkan sehingga lima tan minyak sawit mentah (MSM) di mana merangkumi 25% daripada jumlah keseluruhan pengeluaran Malaysia.

Jelas CGS-CIMB, ini bermakna Sabah menghasilkan kira-kira 100,000 hingga 125,000 tan MSM setiap minggu pada suku keempat(4Q).

“Oleh itu, impak daripada 50% pengurangan tenaga kerja ketika ini akan menyebabkan hasil MSM berkurangan 50,000 hingga 62,500 tan setiap minggu atau potensi kerugian hasil MSM sebanyak RM152 juta hingga RM190 juta setiap minggu, berdasarkan harga terkini iaitu RM3,049 setiap tan. 

“Ini akan menjadi kerugian besar buat industri minyak kelapa sawit Sabah, bagaimanapun memberi manfaat kepada estet di luar Sabah yang dapat menikmati harga MSM tinggi tanpa kekangan SOP,” kata nota kajian CGS-CIMB. 

Bagaimanapun, CGS-CIMB meramalkan kerugian hasil kelapa sawit akan dikurangkan oleh harga MSM yang lebih baik. 

Susulan pengumuman itu, Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) meminta kerajaan negeri berkenaan untuk mengkaji semula SOP tersebut yang mampu memberi kesan buruk ke atas pengeluaran MSM di Sabah. 

Jelas MEOA, jarak di antara setiap pokok kelapa sawit sekitar 9 meter, di mana melebihi 1 meter yang ditetapkan untuk peraturan penjarakan sosial. 

Berhubung had masa bekerja kepada 12 jam dalam operasi pengilangan, MEOA berpendapat ia tidak mencukupi memandangkan operasi itu memerlukan permulaan dan penutupan setiap hari yang pasti akan memakan masa yang diperuntukkan.

Tambah CGS-CIMB, syarikat yang bakal terjejas akibat SOP itu termasuk Genting Plantations Berhad, FGV Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dan Hap Seng Plantations Holdings Berhad. - DagangNews.com