Speaker Dewan Rakyat pastikan laporan PAC mengenai projek LCS dibahaskan di Parlimen | DagangNews Skip to main content

Speaker Dewan Rakyat pastikan laporan PAC mengenai projek LCS dibahaskan di Parlimen

KUALA LUMPUR 6 Okt - Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata beliau akan memastikan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) dibahaskan di Parlimen.

 

Beliau berkata PAC memberi komitmen untuk memantau perkembangan projek pembinaan LCS dan akan menyediakan laporan mengenai perkara itu untuk dibentangkan di Parlimen.

 

Menurut Johari, beliau melawat Limbungan Tentera Laut Boustead, Pangkalan Tentera Laut Lumut di Perak pada Khamis bersama pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin, naib pengerusi PAC Wong Shu Qi dan ahli jawatankuasa itu.

 

"Saya diberi taklimat mengenai pembangunan projek itu oleh pengarah pasukan Franklin Jeyasekhar Joseph dan ketua pegawai eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd Azhar Jumaat," katanya dalam catatan di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

 

Pada 21 Sept, Mas Ermieyati berkata Laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua - LCS adalah antara empat laporan yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat yang dijadualkan bersidang pada 9 Okt ini.

 

Beliau berkata jawatankuasa itu akan membentangkan kemajuan projek LCS bagi tempoh dari Oktober 2022 hingga Mei 2023. - DagangNews.com