Spekulasi pemulihan ekonomi perlahan heret KLCI susut 4.55 mata | DagangNews Skip to main content

Spekulasi pemulihan ekonomi perlahan heret KLCI susut 4.55 mata

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Spekulasi pemulihan ekonomi yang didakwa akan perlahan walaupun vaksin COVID-19 ditemukan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur tempatan dan serantau. 

Ini sekali gus menyaksikan indeks pasaran di Bursa Malaysia, KLCI merudum 4.55 mata atau 0.29% mencecah paras 1,565.53.

Menurut Trading Economics, walaupun berita vaksin COVID-19 mendorong paras pelabur meneruskan pembelian saham mereka, namun peningkatan kes jangkitan dan kematian menyekat daripada pasaran saham terus melonjak. 

Di pasaran tempatan, Rakuten Trade Research menjangkakan terdapat banyak peluang dagangan yang ditawarkan di Bursa Malaysia hari ini berdasarkan harga minyak sawit mentah yang melonjak. 

Ini mendorong saham perladangan menjadi benefisiari utama, manakala saham berkaitan penjagaan kesihatan seperti peralatan perlindungan diri kekal menjadi tumpuan selepas wujudnya berita penjualan vaksin baru-baru ini. 

“Bagaimanapun, kes COVID-19 global terus meningkat dan memecah rekod baharu dengan saham berkaitan teknologi mungkin menyaksikan pemulihan hari ini susulan sentimen positif daripada lonjakan Nasdaq,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya. 

Sementara itu, Bloomberg melaporkan saham pasaran Asia Tenggara yang teruk terjejas apabila industri pelancongan dan perkhidmatan lain ditutup mula melonjak semula apabila keyakinan pembukaan sektor pelancongan bertumbuh. 

Indeks MSCI ASEAN melonjak 14% selama lapan hari, meningkat hampir dua kali ganda indeks MSCI Asia Pasifik pada tempoh sama. 

Jelas Bloomberg, para pelabur mula memasuki saham Asia Tenggara, sebahagian daripada kitaran global ke dalam sektor nilai dan keluar pertumbuhan selepas Pfizer Inc. menunjukkan penemuan vaksin yang positif. 

Kerajaan di seluruh rantau itu mengkaji untuk melonggarkan langkah penjarakan sosial dengan Singapura dan Hong Kong mengumumkan mereka bakal memulakan gelembung perjalanan udara menggantikan kuarantin dengan ujian COVID-19 bermula 22 November ini.  - DagangNews.com