ST Telemedia Global Data Centres rancang bangun pusat data kedua di Johor | DagangNews Skip to main content

ST Telemedia Global Data Centres rancang bangun pusat data kedua di Johor

Lakaran artis mengenai kampus pusat data kedua di Johor.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Nov - ST Telemedia Global Data Centres (STT GDC) merancang untuk membangunkan kampus pusat data kedua di Malaysia di Johor.

 

Pusat data itu akan menyokong sehingga 120 megawatt kapasiti IT kritikal.

 

Kampus pusat data STT Johor akan dibina di atas tanah seluas lebih 8.9 hektar memberikan potensi pembangunan 120 megawatt kuasa IT yang dibekalkan melalui pelbagai pencawang berdekatan.

 

Terletak di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang di Iskandar Puteri dan kira-kira 15 kilometer dari Singapura, tapak pusat data baharu itu akan mempunyai akses kepada pautan telekomunikasi kritikal.

 

Pembinaan bangunan pertama yang menyokong 16MW dalam beban IT akan dimulakan dalam beberapa bulan akan datang dan dijangka siap menjelang 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutif STT GDC Asia Tenggara, Lionel Yeo berkata, penubuhan kampus pusat data kedua di Malaysia menggariskan komitmen syarikat dalam memajukan transformasi digital negara.

 

"Peluasan kami ke Johor adalah bagi menyampaikan perkhidmatan infrastruktur digital yang bukan sahaja memenuhi permintaan pelanggan kami yang melonjak dan sentiasa berkembang bagi reka bentuk dan kebolehskalaan yang kompleks.

 

"Kami juga menjangkakan keperluan masa depan, terutamanya pengkomputeran berprestasi tinggi untuk AI dan pengkomputeran visual.

 

"Kami komited untuk berkembang bersama pelanggan dan membantu mereka dalam usaha pendigitalan global mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu bekerjasama dengan Basis Bay bagi pembangunan, pembinaan dan pengendalian projek pusat data di Kuala Lumpur dan Cyberjaya.

 

Projek awal usaha sama itu melibatkan penubuhan kampus pusat data pertamanya di Cyberjaya, yang akan memudahkan pembinaan dua bangunan di atas kawasan tanah lebih tiga ekar untuk menyampaikan hampir 20MW untuk beban IT. - DagangNews.com