Straits meterai MOU dengan Baicells Technologies untuk lancarkan 4G dan 5G  | DagangNews Skip to main content

Straits meterai MOU dengan Baicells Technologies untuk lancarkan 4G dan 5G 

Pengarah Urusan Kumpulan Straits, Dato Sri Ron Ho Kam Choy berkata ''ekonomi dan teknologi digital akan menjadi tulang belakang ekonomi negara dan Straits sedang menggerakkan sumber dengan pantas untuk mengembangkan arena digital''.

 

 

KUALA LUMPUR 16 Nov – Straits Energy Resources Berhad (dahulunya dikenali sebagai Straits Inter Logistics Berhad), sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, memeterai Memorandum Persefahaman dengan Baicells Technologies Co., Ltd untuk bekerjasama dan memacu peluang perniagaan komunikasi rangkaian tanpa wayar yang semakin berkembang bagi pelancaran 4G dan 5G serta transformasi digital industri minyak dan gas melalui ‘Internet Kebendaan’ (IoT) di Malaysia dan serantau.

 

Baicells Technologies adalah syarikat antarabangsa, menyediakan Penyelesaian Akses NR 4G LTE dan 5G inovatif teknikal yang menghubungkan lebih 50 negara di seluruh dunia.

 

Visi Baicells Technologies iaitu “Connect the Unconnected” telah membawa kepada penubuhan pejabat di lima daripada tujuh benua dan pembangunan 300 paten sejak penubuhannya pada 2014.

 

Baicells Technologies kini mempunyai lebih 700 rangkaian LTE persendirian di seluruh dunia, dengan peratusan besar daripada rangkaian dipercayai yang beroperasi di Amerika Utara.

 

Mengulas mengenai cadangan kerjasama itu, Pengarah Urusan Kumpulan Straits, Dato Sri Ron Ho Kam Choy berkata, pihaknya teruja dan menantikan perkongsian yang berjaya dengan Baicells Technologies untuk meneroka dan memanfaatkan potensi perniagaan yang besar dalam ruang pelancaran 4G dan 5G serta IoT di Malaysia dan serantau.

 

Beliau berkata, ekonomi dan teknologi digital akan menjadi tulang belakang ekonomi negara dan Straits sedang menggerakkan sumber dengan pantas untuk mengembangkan arena digital yang luas ini dalam pelancaran teknologi 4G dan 5G dan juga dalam transformasi digital industri minyak dan gas.

 

‘’Dengan infrastruktur dan rangkaian perniagaan kami, kami optimis bahawa kami boleh menyumbang kepada proses pendigitalan berterusan kedua-dua sektor awam dan swasta dengan sokongan kukuh Baicells Technologies dan rakan kerjasama lain.

 

‘’Selain mengambil bahagian dalam pelancaran 4G dan 5G di seluruh negara dan serantau, Straits berhasrat memacu transformasi digital industri O&G dengan mempertingkatkan penggunaan automasi, pengawasan, operasi jauh dan analitik data besar melalui IoT untuk mencapai prestasi dan produktiviti yang lebih baik,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 

straits

 

Ron berkata, Malaysia dijangka melihat kira-kira 80% kawasan berpenduduk mempunyai liputan rangkaian 5G sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk membuka semula negara pada kedudukan yang lebih kukuh.

 

‘’Matlamat kami dalam usaha digital baharu yang berskala tinggi ini juga sangat sejajar dengan langkah Kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan dan pertumbuhan sambungan 5G berkelajuan tinggi, mampu milik dan boleh dipercayai untuk faedah sosioekonomi penduduk,’’ ujarnya.

 

Beliau berkata, pelancaran 5G dijangka akan bermula di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya menjelang akhir 2021 dan Straits berharap dapat menyumbang kepada proses pelancaran ini.

 

“Ini adalah masa yang mengujakan bagi Straits sebagai Kumpulan yang berkembang pesat, ia akan terus mengejar peluang perniagaan untuk meningkatkan asas pendapatannya dan usaha digital dengan Baicells Technologies ini akan menawarkan peluang perniagaan yang luas kepada Kumpulan.

 

‘’Ketika Kerajaan berusaha untuk berjaya mengubah Malaysia menjadi dipacu digital, berpendapatan tinggi dan peneraju serantau dalam ekonomi digital, Straits sedang meletakkan dirinya ke arah perjalanan transformasi digital ini,” kata beliau. – DagangNews.com