Strategi pelaksanaan SMART Sawah Berskala Besar tidak diubah | DagangNews Skip to main content

Strategi pelaksanaan SMART Sawah Berskala Besar tidak diubah

SMART SBB di Sungai Batu Pahat, Perlis.

SMART SBB di Sungai Batu Pahat, Perlis.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Kerajaan tidak membuat sebarang perubahan terhadap strategi pelaksanaan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dengan penternakan udang galah seperti yang didakwa sesetengah pihak.

 

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan berkata, SMART SBB dan projek rintis ternakan udang galah dalam kawasan sawah padi di kawasan FELCRA Seberang Perak merupakan dua inisiatif yang berbeza.

 

"Projek ternakan udang galah dalam kawasan sawah padi seluas 1.08 hektar di kawasan FELCRA Seberang Perak adalah projek rintis melalui kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dengan sebuah syarikat swasta bertujuan meningkatkan pendapatan para pesawah selain menikmati hasil daripada penanaman padi.

 

"Insiaitif ini bukan sebahagian daripada program SMART SBB. 

 

"Justeru, tidak timbul isu kerajaan mengubah strategi pelaksanaan SMART SBB dengan penternakan udang seperti yang dinyatakan dalam kenyataan berkenaan," jelas MAFI.

 

Kenyataan yang dikeluarkan MAFI itu merujuk kepada kenyataan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) yang dikeluarkan pada 3 Ogos 2021 dengan tajuk “Projek Estet Smart SBB: Pesawah disaran berfikir panjang dan tolak”.

 

Baca: BERNAS bangunkan 4 lokasi SMART Sawah Berskala Besar, unjur lonjakan hasil hingga 60% 

 

Mengulas lanjut, MAFI berkata, program SMART SBB yang telah mendapat persetujuan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) adalah salah satu inisiatif MAFI yang dirangka bagi mempertingkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara sebanyak 75% dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

 

Program tersebut dilaksanakan oleh jabatan dan agensi dibawah MAFI iaitu Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

 

Kesemua jabatan dan agensi berkenaan merupakan penyelaras selain bertindak sebagai pemantau program dan aktiviti dalam melaksanakan dasar kerajaan dan turut menyediakan khidmat pengembangan kepada pesawah dan sebagainya.

 

Dalam pada itu, pelaksanaan program SMART SBB melibatkan para pesawah sebagai rakan kongsi utama kerajaan.

 

Dalam menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat, MAFI sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk pesawah-pesawah melalui jabatan dan agensi yang terlibat bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan secara efektif dengan kerjasama padu bagi mencapai objektif yang dihasratkan.

 

Tambah beliau, usahasama pihak awam dan swasta itu juga akan membolehkan pesawah menikmati peningkatan hasil padi per metrik tan setahun sehingga 191% dan seterusnya nilai pendapatan tahunan sehingga 47% menerusi peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa sebanyak 3.5 kepada 7.0 metrik tan.

 

"Malah hampir kesemua risiko dan kos penanaman padi yang sebelum ini ditanggung oleh pesawah akan dapat dikurangkan sekali gus meningkatkan margin pendapatan pesawah. 

 

"Inisiatif ini juga membolehkan pelaksanaan pendekatan baharu melalui konsep pertanian moden seperti pelaksanaan sistem profil tanah, pertanian pintar, kaedah teknologi baharu atau Internet of Things (IoT) selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) untuk meningkatkan hasil per hektar," jelas MAFI lagi. - DagangNews.com