Subsidi untuk penternak ayam, ringankan beban | DagangNews Skip to main content

Subsidi untuk penternak ayam, ringankan beban

PUTRAJAYA 9 Feb - Jemaah Menteri pada hari ini telah bersetuju memberi subsidi kepada penternak ayam sebanyak RM0.60/kg dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90/kg dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90/kg.

 

Bagi telur, Jemaah Menteri juga telah bersetuju memberi subsidi sebanyak RM0.05/biji untuk semua jenis kategori, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

 

''Tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70% dari kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Februari 2022 hingga 4 Jun 2022 iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

 

Menurut beliau, anggaran keseluruhan implikasi kewangan kepada Kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat (4) bulan ini adalah sebanyak RM528.52 juta.

 

MAFI melalui DVS juga akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri untuk memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh bagi memastikan pengeluaran ayam dan telur di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan.

 

''MAFI berharap langkah intervensi Kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan sekaligus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga yang berpatutan,'' kata beliau. - DagangNews.com