Subsidiari Kerjaya Prospek saman anak syarikat Yong Tai, didakwa tidak bayar baki kontrak tertunggak lebih RM105 juta | DagangNews Skip to main content

Subsidiari Kerjaya Prospek saman anak syarikat Yong Tai, didakwa tidak bayar baki kontrak tertunggak lebih RM105 juta

Projek pembangunan bercampur usaha Kerjaya Prospek dan Apple 99, "The Apple" di Melaka. /Gambar dari Facebook Yong Tai Bhd

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Unit firma pembinaan, Kerjaya Prospek Group Bhd menyaman Apple 99 Development Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Yong Tai Bhd atas dakwaan gagal membayar jumlah kontrak tertunggak sebanyak RM105.14 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kerjaya Prospek berkata, anak syarikat milik penuhnya Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Apple 99 kerana gagal membayar jumlah baki kontrak tertunggak sebanyak RM105.14 juta.

 

Menurut pemfailan itu, syarikat tersebut juga memohon pengisytiharan Apple 99 melanggar perjanjian penyelesaian (SA) bertarikh 25 Feb 2020, serta perintah prestasi khusus SA dan perjanjian jual beli (SPA) hotel.

 


Kumpulan itu berkata, kegagalan Apple 99 membayar jumlah kontrak, tambah lagi dengan tiada penjualan hotel kepada pihak ketiga menjelang tempoh tamat, Kerjaya Prospek kini berhak di bawah SA meneruskan SPA hotel.

 

"Sebagai alternatif, sekiranya Mahkamah menganggap prestasi khusus adalah penyelesaian yang idak sesuai, Apple 99 dikehendaki membayar kepada Kerjaya Prospek sebanyak RM105.14 juta atau jumlah lain yang ditentukan oleh Mahkamah sebagai baki kontrak tertunggak," kata Kumpulan itu.

 

Pad 2016, Kerjaya Prospek telah menerima kontrak bernilai RM213.75 juta daripada Yong Tai untuk pembinaan kerja-kerja bangunan utama khususnya projek pembangunan bercampur dikenali sebagai "The Apple".

 

Projek itu merupakan usaha sama antara Yong Tai dan PTS Properties Sdn Bhd di Melaka.

 

Ia terdiri daripada bangunan hotel 16 tingkat dengan 284 bilik, dikenali sebagai Courtyard by Marriott, bangunan suite perkhidmatan 32 tingkat dengan 361 unit pangsapuri servis dan podium lapan tingkat tempat letak kereta.

 

Kerjaya Prospek berkata sementara menunggu keputusan proses litigasi, tuntutan mahkamah itu tidak dijangka memberi sebarang kesan kewangan material serta-merta ke atas Kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024.

 

Ia juga dijangka tidak mempunyai sebarang kesan operasi serta-merta ke atas kumpulan itu.- DagangNews.com