Sukar beli rumah tanpa bantuan kerajaan - kajian PropertyGuru | DagangNews Skip to main content

Sukar beli rumah tanpa bantuan kerajaan - kajian PropertyGuru

Dalam kajian itu, 73% daripada responden mempunyai pemahaman yang jelas tentang syarat kelayakan untuk perumahan mampu milik. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Sept - Isu kemampuan masih membelenggu pembelian hartanah dengan orang ramai masih mengharapkan kerajaan menggerakkkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC). 

 

Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022 yang dikeluarkan PropertyGuru Malaysia mendapati bakal pembeli menghadapi masalah kemampuan untuk memiliki rumah dengan 51% responden memahami bahawa mereka tidak layak untuk skim perumahan mampu milik kerajaan dan tidak mampu membeli hartanah tanpa bantuan kewangan.

 

Dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Julai dan indeks harga pengguna (IHP) yang meningkat kepada paras tertinggi sehingga 4.4% tahun ke tahun, bakal pembeli mungkin akan terus berdepan dengan isu kemampuan dan kebimbangan berhubung kemelesetan global dan kadar inflasi.

 

Dalam kajian itu, 73% daripada responden mempunyai pemahaman yang jelas tentang syarat kelayakan untuk perumahan mampu milik, menunjukkan bahawa bakal pembeli akan terus mencari inisiatif perumahan kerajaan yang lain untuk membantu mereka memiliki rumah. 

 

 

Sheldon Fernandez
Sheldon Fernandez

 

 

Pengurus Negara, Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, berdasarkan kaji selidik itu ia menunjukkan pembeli mempunyai kesedaran yang tinggi tentang inisiatif kerajaan dan kelayakan untuk perumahan mampu milik. 

 

Namun, akibat kemelesetan, inflasi, kenaikan harga dan kenaikan OPR yang berterusan, bakal pembeli dijangka terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga keseluruhan kos sara hidup kembali stabil.

 

"Oleh itu, dalam pembentangan Bajet 2023 yang akan datang tidak lama lagi, kami berharap akan ada peruntukan yang boleh membantu memacu pasaran hartanah dan membantu mereka yang merancang untuk memiliki rumah. 

 

"Ini kerana kajian ini turut menunjukkan lebih 69% daripada mereka yang ditinjau merancang untuk membeli rumah jika Kempen Pemilikan Rumah dihidupkan semula," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia memberi fokus kepada isu hartanah dan berkaitan hartanah kepada 801 responden menerusi soal selidik dalam talian. 

 

Dilancarkan pada 2009 sebagai Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru, ia dilaksanakan dengan kerjasama Intuit Research Consultants, sebuah firma penyelidikan antarabangsa, sejak 2016.

 

Pada masa sama, kajian itu mendapati pembeli rumah bimbang mengenai impak bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh kepada hartanah dalam tempoh jangka panjang. 

 

Didapati 92% daripada responden dalam kajian telah menekankan banjir sebagai kebimbangan utama mereka, manakala 83% bimbang tentang tanah runtuh.

 

Sehubungan itu, kajian itu menunjukkan  66% daripada responden sanggup membayar premium insurans yang lebih tinggi ke atas hartanah mereka kerana bimbang dengan kesan perubahan iklim.

 

Dengan kesedaran alam sekitar merekodkan aliran menaik, pengguna kini mencari rumah dan ciri-ciri lestari sebagai pertimbangan utama semasa membeli rumah dengan responden menyatakan bahawa panel solar, penuaian air hujan dan pengkomposan sisa makanan merupakan ciri penting yang perlu dimiliki pada masa hadapan. 

 

Selain itu, satu daripada tiga responden daripada kumpulan berpendapatan tinggi sanggup membayar lebih untuk hartanah dengan port pengecasan Kenderaan Elektrik (EV). - DagangNews.com