Sukar Gamuda capai sasaran jualan FY21, RM3.5 bilion - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Sukar Gamuda capai sasaran jualan FY21, RM3.5 bilion - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research percaya Gamuda Berhad tidak mungkin mampu mencapai sasaran jumlah jualan hartanahnya bernilai RM3.5 bilion bagi tahun kewangan semasa (FY21). 

 

Penganalisis di CGS-CIMB, Sharizan Rosely berkata, jangkaan itu dibuat setelah mengambil kira jumlah jualan setakat sembilan bulan pertama FY21 (9MFY21) iaitu RM2.2 bilion. 

 

“Kami mendapati ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, tol di jalan raya merosot pada Jun, iaitu paras pemulihan berbanding sebelum COVID-19 antara 20% hingga 50% daripada 97% paras pemulihan dicapai pada 2QFY21, menggambarkan perolehan konsensi tol yang lebih lemah pada 4QFY21.

 

“Baki nilai pesanan buku pembinaan berada pada kadar RM4.9 bilion.

 

“Dalam persidangan maya, kumpulan menjelaskan bahawa semua segmen lain dijangka menyaksikan penyusutan suku ke suku dari segi perolehan ekoran pelaksanaan PKP penuh, pembangunan hartanah dijangka mampu bertahan dengan baik, dengan Celadon City (di Vietnam) mengimbangi kelemahan di peringkat domestik,” jelas Sharizan dalam satu nota kajian.

 

Gamuda menyaksikan perolehannya melonjak sebanyak 246.9% tahun ke tahun kepada RM137.8 juta pada 3QFY21, terutamanya dipacu oleh segmen pembinaan dan hartanah yang meningkat kepada, masing-masing RM52.2 juta dan RM43.2 juta. 

 

Bagaimanapun, perolehan bagi 9MFY21 menyusut dari segi margin sebanyak 2.0% kepada RM239.7 juta, terutamanya disebabkan oleh kemerosotan perolehan segmen hartanah susulan kelewatan dalam kelulusan projek Celadon City.

 

Tambah Sharizan, unjuran perolehan sesaham (EPS) Gamuda bagi FY21 hingga FY23 diturunkan sebanyak 6% hingga 11% memandangkan keuntungan besih kumpulan dijangka merosot 28% suku ke suku pada 4QFY21.

 

Dalam masa sama, harga sasaran (TP) Gamuda turut diturunkan kepada RM4.00, namun saranan ‘tambah’ ke atas saham kumpulan dikekalkan.

 

Baca : Tender projek MRT3 mungkin tangguh ke hujung tahun ini - CGS CIMB

 

Senada itu, penganalisis di MIDF Research, Khoo Zhen Ye mengekalkan saranan ‘beli’ saham Gamuda dengan TP tidak berubah pada kadar RM4.20 sesaham.

 

Walaupun perolehan 4QFY21 kumpulan dijangka terjejas akibat PKP penuh, namun Zhen Ye melihat perolehan hartanah yang tidak sekata dari Vietnam berpotensi mengimbangi keadaan itu.

 

“Kami terus menjangkakan bahawa prospek hasil dan perolehan kumpulan pada FY22 akan mencatatkan pemulihan yang agak kukuh susulan aktiviti pembinaan dan perniagaan mungkin disambung semula selain kapasiti tenaga kerja di tapak pembinaan akan meningkat semasa PKP Pemulihan (PKPP).

 

“Kunci kira-kira kumpulan yang kukuh akan mengurangkan penggearan bersih kepada 21% daripada 30%, menyumbang kepada kapasiti pinjaman yang bertambah baik buat kumpulan sebanyak RM4.0 bilion, berpotensi digunakan untuk Projek Pulau Pinang Selatan (PSI),” tambah beliau. 

 

MIDF menyemak turun unjuran perolehan FY21 Gamuda kepada RM525.0 juta setelah mengambil kira impak daripada perkembangan bil yang perlahan dan penguncupan magin dalam segmen hartanah ekoran PKP penuh. - DagangNews.com