Sukar untuk Malaysia laksana PKP kedua, kata Bank Dunia | DagangNews Skip to main content

Sukar untuk Malaysia laksana PKP kedua, kata Bank Dunia

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Bukan mudah untuk Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi sekiranya kes COVID-19 terus meningkat. 

Ini adalah berikutan, tahap hutang Malaysia semakin bertambah, manakala defisit fiskal pula pada skala yang signifikan sebelum penularan pandemik itu lagi. 

“Walaupun pelaksanaan PKP sangat diperlukan, namun ia akan menjadi sukar untuk Malaysia melaluinya sekali lagi.

“Tetapi sudah tentu, jika ada peningkatan wabak COVID-19 di Malaysia, atau penekanan dalam aktiviti ekonomi domestik dan corak penggunaan, atau kesan yang lebih teruk dari yang dijangkakan atau berterusan terhadap prospek ekonomi Malaysia,” kata Ketua Ekonomi Bank Dunia, Richard Record.

 

Richard Record
Richard Record

 

Record berkata demikian pada sidang akhbar secara maya berhubung pelancaran laporan ‘From Containment to Recovery — the World Bank’s October 2020 Economic Update for East Asia and the Pacific’.

Baca : Bank Dunia turunkan unjuran pertumbuhan 2020 Malaysia kepada -4.9%

Beliau mengulas mengenai kes COVID-19 yang kian meningkat di negara ini di mana kebanyakannya dicatatkan di Sabah. 

Dalam laporan berkenaan, Bank Dunia meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bakal menguncup sehingga -4.9%, berbanding -3.1% sebelum ini. 

Unjuran itu dibuat berdasarkan penurunan mendadak output Malaysia pada suku kedua selain pemulihan ekonomi global yang perlahan.

Malah, Record berkata, kadar penguncupan itu tidak dinafikan boleh mencecah sehingga 6.1%.

“Kesihatan penduduk dan ekonomi dua perkara yang berkait rapat, jadi pemulihan ekonomi hanya berlaku sekiranya kes COVID-19 dapat dibendung,” tambah Record. 

Cabaran buat Malaysia pada masa akan datang adalah untuk menghapuskan beberapa langkah pakej rangsangan selain memperkukuh fiskal negara. - DagangNews.com