KUALA LUMPUR 28 Feb – Terbitan sulung Sukuk Wakalah KPJ Healthcare Berhad bernilai RM3 bilion menerima langganan sebanyak 10.3 kali.
Proses rundingan Tawaran pada 23 Februari lalu, dari awal lagi telah menerima permintaan yang sangat tinggi daripada pelbagai pelabur dalam pasaran modal.
Antaranya ialah pelabur institusi termasuk pengurus dana, syarikat insurans, syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan dan pelabur ‘high networth’ dengan permintaan pada keseluruhan langganan RM6.7 bilion diterima pada akhir proses rundingan, memberikan lebih langganan sebanyak 10.3 kali.
Permintaan daripada pelabur yang terus berada pada nilai langganan yang tinggi di sepanjang tempoh rundingan berlangsung serta sambutan luar biasa ini membolehkan KPJ Healthcare memuktamadkan proses penetapan harga dibida dan mengurangkan kadar hasil keseluruhan sebanyak 20 hingga 30 mata asas.
Dan akhirnya Sukuk Wakalah 5-tahun, 7-tahun dan 10-tahun masing-masing ditetapkan pada kadar keuntungan 4.29%, 4.58% dan 4.66%, dengan nisbah bida kepada liputan 10 kali pada penutup hari perniagaan.
Program Sukuk Wakalah yang turut bercirikan kelestarian ini juga memberikan fleksibiliti kepada KPJ Healthcare untuk menerbitkan Sukuk lestari bagi memperkasakan lagi agenda kelestariannya.
Tawaran Sukuk Wakalah melalui syarikat milik penuh KPJ Healthcare, Point Zone (M) Sdn Bhd merupakan terbitan pertama seumpamanya di pasaran Sukuk tempatan oleh penerbit Sukuk yang terlibat secara langsung dalam sektor penjagaan kesihatan.
Saiz terbitan telah ditingkatkan kepada RM650 juta daripada saiz permulaan RM500 juta oleh kerana permintaan yang tinggi daripada para pelabur.
Hasil daripada terbitan Sukuk ini akan digunakan KPJ Healthcare untuk tujuan pembiayaan yang patuh Syariah termasuk untuk tujuan mengembangkan perniagaan, perbelanjaan modal dan tujuan am korporat yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan seumpamanya bagi Kumpulan KPJ.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Ahmad Shahizam Mohd Shariff berkata, tawaran Sukuk ini menandakan kejayaan KPJ Healthcare Kembali ke pasaran modal tempatan selepas lebih sedekad tanpa terbitan di pasaran dan pihaknya amat berpuas hati dengan sambutan kukuh yang daripada pelabur dan kejayaan penerbitan ini.
Menurutnya, sambutan yang luar biasa daripada pelabur kepada transaksi ini adalah petanda jelas keyakinan pasaran terhadap strategi bisnes Kumpulan KPJ dalam usaha mencipta nilai jangka panjang yang mampan kepada pemegang taruh, didokong oleh rekod operasi KPJ yang melebihi 4 dekad dalam sektor penjagaan kesihatan swasta Malaysia.
Program Sukuk Wakalah ini telah diberikan penarafan AA-IS(CG)(stabil) oleh Malaysian Rating Corporation Berhad.
Maybank Investment Bank dan OCBC Al-Amin Bank Berhad merupakan Penasihat Utama Bersama, Pengatur Utama Bersama dan Penasihat Penstrukturan Kelestarian Bersama bagi Program Sukuk Wakalah ini manakala Affin Hwang Investment Bank Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, Maybank Investment Bank dan OCBC Al Amin bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama. – DagangNews.com