Sumbangan Bakul Makanan TH bernilai RM10,000 untuk 100 keluarga asnaf di Sipitang | DagangNews Skip to main content

Sumbangan Bakul Makanan TH bernilai RM10,000 untuk 100 keluarga asnaf di Sipitang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangNews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Dis - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyampaikan Sumbangan Bakul Makanan Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah RM10,000 kepada 100 keluarga asnaf di Sipitang, Sabah, hari ini.

 

TH memperuntukkan kira-kira RM100 kepada setiap 100 buah keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40 di daerah itu. 

 

Sumbangan itu terdiri daripada barangan keperluan asas seperti beras, minyak, tepung, gula, biskut, susu krimer manis, sardin, bihun dan mi segera.

 

Ahmad Marzuk berkata, penyerahan Sumbangan Bakul Makanan TH itu diharap dapat meringankan serba sedikit bebanan yang ditanggung semua.

 

"Ketika negara dilanda musibah, kerajaan terus prihatin dengan nasib rakyat khususnya golongan asnaf dan B40 di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan selepas menyempurnakan majlis tersebut di Pekan Sipitang yang turut dihadiri Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said.

 

Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri merangka pelbagai program untuk menyantuni rakyat Sabah bersempena lawatan kerja Ahmad Marzuk bermula 22 hingga 30 Disember 2021.

 

sumbang

 

Bemula Januari hingga Disember 2021, TH menjalankan 17 program zakat yang sebahagiannya merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka kepada masyarakat.

 

Kesemua program itu dilaksanakan dengan peruntukan melebihi RM19 juta melibatkan Program A’fiat, Program Iqra’ TH-IPTA dan Program Mobiliti. - DagangNews.com