Sumber perikanan negara kekal mampan | DagangNews Skip to main content

Sumber perikanan negara kekal mampan

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Tren pendaratan ikan  menunjukkan tanda-tanda pemulihan berikutan pelbagai langkah kawalan terhadap sumber perikanan dilaksanakan di seluruh negara sejak tahun 2016. 

 

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) berkata, pindaan Akta Perikanan 1985 yang telah dibuat pada tahun 2019 juga membantu Jabatan mengurus sumber dengan lebih baik dan mengawal aktiviti IUU Fishing (Illegal, unreported and unregulated).

 

Penguatkuasaan tersebut tidak hanya terhad terhadap pencerobohan vesel asing, malah turut dikuatkuasakan kepada vesel penangkapan ikan tempatan. 

 

DOF berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap vesel-vesel tempatan yang tidak mematuhi peraturan dan syarat-syarat lesen dan telah berjaya mengurangkan bilangan vesel menangkap ikan dari 56,211 buah pada tahun 2015 kepada 48,826 buah pada tahun 2020.

 

"DOF juga telah melaksanakan pengezonan semula kawasan penangkapan ikan di negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia iaitu di Selangor, Perak, Kedah dan Perlis sebagai tindakan pemulihan perairan yang mengalami kemerosotan
sumber. 

 

"DOF juga mensasarkan penghapusan pukat tunda di Zon B di seluruh negara demi kelangsungan sektor perikanan khususnya nelayan tempatan.

 

"Kesan dari langkah pemulihan ini, pendaratan ikan zon pantai di pantai barat semenanjung telah menunjukkan peningkatan positif walaupun bilangan vesel beroperasi telah berkurangan," jelas DOF dalam satu kenyataan.

 

Kenyataan tersebut dibuat sebagai jawapan balas terhadap artikel bertajuk ‘A Sea of Troubles’ yang diterbitkan sebuah syarikat akhbar tempatan baru-baru ini.

 

Tambah DOF, pendaratan ikan di Zon C mencatatkan penurunan kerana banyak vesel tidak dapat beroperasi disebabkan kebergantungan terhadap pekerja asing yang tersekat di awal tempoh wabak COVID-19.

 

Mengulas berkaitan Taman Laut pula, DOF memberitahu, jumlahnya akan sentiasa dipertingkat dengan kerjasama erat kerajaan negeri.

 

Pertambahan pulau yang akan diwartakan sebagai Taman Laut dijangka bertambah pada tahun 2021.

 

Sejak 2017, sebanyak 1,606 unit tukun tiruan dengan kos melebihi RM27 juta telah dilabuhkan di seluruh negara. - DagangNews.com