Sunway Construction berpotensi besar dapat projek mega pengangkutan awam - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Sunway Construction berpotensi besar dapat projek mega pengangkutan awam - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Sunway Construction Group Berhad (SCGB) bakal menjadi penerima manfaat utama untuk meraih projek mega bagi pembinaan pengangkutan awam di Malaysia, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021. 

 

Ini mungkin melibatkan projek-projek pembinaan Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Lebuh Raya Pan Borneo, Sistem Transit Aliran (RTS) Johor Bahru–Singapura, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek potensi, Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

 

Menurut penganalisis di MIDF Research, Ummar Fitri, SCGB mempunyai rekod prestasi yang baik dan pengalaman luas melibatkan projek kereta api serta dua kilang pembuatan konkrit pratuang kumpulan yang dekat di mana terletak di Johor.

 

“Kami kekal optimis terhadap ketahanan dan kualiti prospek perolehan kumpulan, berdasarkan tunggakan pesanan bukunya yang kukuh dan operasi kerja yang akan bermula semula dengan cepat, seperti yang dicerminkan oleh pemulihan pendapatan sihat kumpulan pada suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21) walaupun terdapat sekatan pergerakan.

 

“Sifat ketahanan semula jadi kumpulan dipacu oleh portfolio pesanan bukunya yang seimbang, terdiri daripada projek dalam negara dan luar negara yang besar, terutamanya dari India di mana kumpulan telah meraih dua projek lebuh raya utama pada FY20 yang bermula pada Mei 2021.

 

“Ini seiring momentum perolehan kumpulan pada masa akan datang. Dalam tempoh jangka masa sederhana ini, prospek kumpulan juga disokong baik oleh jumlah pesanan bukunya kira-kira RM4.8 bilion yang menampung perolehannya untuk tempoh tiga tahun akan datang,” jelas Ummar dalam satu nota kajian hari ini.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama FY21 (6MFY21), kumpulan menyaksikan perolehannya meningkat 34% kepada RM27.1 juta berbanding tempoh sama pada tahun lalu, walaupun terdapat pelaksanaan ‘lockdown’ yang mengehadkan kapasiti aktiviti pembinaan kepada 60%.

 

Di sebalik lonjakan itu, prestasi berkenaan bagaimanapun lebih rendah daripada unjuran yang ditetapkan MIDF, kata Ummar lanjut. 

 

“Kami membuat beberapa perubahan kepada unjuran hasil yang mengambil kira kemas kini ramalan kami ke atas SCGB, sejajar prestasi kewangan yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

“Kami menyemak semula unjuran hasil dan perolehan bagi FY21/FY22, masing-masing kepada RM1.74 bilion/RM2.1 bilion dan RM87 juta/RM123.2 juta,” ujar Ummar. 

 

Susulan itu, MIDF menyemak turun harga sasaran (TP) SCGB kepada RM1.80 daripada RM2.09, sementara penarafan ‘beli’ dikekalkan. - DagangNews.com