Sunway Construction dijangka raih manfaat besar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Sunway Construction dijangka raih manfaat besar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jan - RHB Investment mengunjurkan Sunway Construction Group Berhad menjadi penerima manfaat utama daripada penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Katanya, kumpulan itu memiliki kelebihan untuk terlibat dalam semua bentuk pembangunan bermula daripada bangunan perindustrian sehingga kepada tenaga boleh diperbaharui (RE). 

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun tanpa pembangunan JS-SEZ, mereka tetap memilih Sunway Construction itu kerana prospek kumpulan disokong oleh projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), pengembalian semula pembinaan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) 3, dan LRT Pulau Pinang.

 

"Walaupun masih belum diketahui sama ada kawasan berhampiran Tuas Link atau Taman Teknologi Sedenak akan menjadi lokasi sebenar JS-SEZ, namun Sunway Construction tetap akan menikmati limpahan pembangunan di kedua-dua kawasan itu.

 

"Seandainya ia dibangunkan di Tuas Link, kumpulan itu akan menerima kesan limpahan ke atas Sunway City Iskandar Puteri dan jika dibangunkan di Taman Teknologi Sedenak, Sunway Construction sudah bertapak di kawasan itu melalui projek pusat data bernilai RM1.7 bilion yang diterimanya pada Disember 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia, Singapura meterai MoU Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

 

RHB Investment berkata, inisiatif RE yang diumumkan dalam perjanjian JS-SEZ juga dijangka memberikan peluang kepada projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan solar (EPCC) tenaga solar.

 

Katanya, kumpulan itu sebelum ini berjaya memperoleh kontak EPCC solar bernilai RM500 juta.

 

"Pada masa sama, Sunway Construction memperkukuhkan kedudukan dalam pekerjaan industri selepas berjaya meraih projek bernilai RM298 juta daripada Daiso Malaysia bagi pusat pengedaran global di Pulau Indah, Selangor," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM2.42 berbanding RM2.22 sesaham. - DagangNews.com