Gudang automatik tercanggih Lam Research Corp mula beroperasi | DagangNews Skip to main content

Gudang automatik tercanggih Lam Research Corp mula beroperasi

Kilang pembuatan Lam Research di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Mei – Lam Research Corp., pembekal peralatan dan perkhidmatan fabrikasi wafer kepada industri semi konduktor mengumumkan pembukaan rasmi gudang automatik baharunya di Batu Kawan, Pulau Pinang. 

 

Gudang baharu ini melengkapkan operasi pembuatan Lam di Malaysia yang merupakan pusat kemudahan pembuatan terbesarnya.
 

Kemudahan canggih tersebut memudahkan pengurusan cekap bagi inventori luas yang mengandungi bahagian yang penting untuk menghasilkan alat fabrikasi wafer termaju Lam. 

 

Gudang baharu itu menggunakan pelbagai sistem, teknologi dan robot termaju, di samping pekerja-pekerja Lam. Inovasi-inovasi ini meningkatkan operasi, pemenuhan pesanan dan produktiviti keseluruhan.

 

“Kami berbangga untuk memperluaskan keupayaan kemudahan pembuatan Lam yang terbesar dan paling inovatif, dengan pembukaan gudang automatik canggih kami di sini di Pulau Pinang,” kata Pengurus Besar di Lam Manufacturing Malaysia (LMM), Eng Keat Lee. 

 

Menurut beliau, pakar logistik Lam menggunakan penyelesaian automatik untuk menghantar ribuan alat ganti di gudang ini dengan lancar setiap hari, sehingga sembilan kali lebih pantas daripada kaedah konvensional, untuk menyokong operasi pembuatannya. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lam Research buka kemudahan pembuatan terbesarnya di Malaysia

 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas usaha gigih pekerja dan rakan kongsi kami untuk menyiapkan projek ini," jelasnya.

 

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Lam Research, Pat Lord berkata, memandangkan AI dan pengkomputeran termaju terus memacu permintaan untuk semikonduktor generasi akan datang, pembukaan kemudahan baharu ini merupakan langkah penting untuk meningkatkan lagi kecemerlangan operasi Lam.

 

"Dengan menggunakan inovasi canggih, gudang yang diautomasi ini meningkatkan kecekapan pelaksanaan kami di Pulau Pinang. Lebih-lebih lagi, ia membolehkan Lam untuk memberi perkhidmatan yang luar biasa kepada pelanggannya di Asia dan ramai lagi,” ujarnya.

 

Kemudahan tersebut menampilkan beberapa penyelesaian automatik, termasuk sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS) terbesar di Malaysia. 

 

Kemudahan itu diiktiraf dalam Buku Rekod Malaysia untuk kapasiti tong penyimpanan ASRS terbesar di negara ini. 

 

Ia juga dilengkapi dengan Robot Mudah Alih Autonomi (AMR) dan Kenderaan Berpandu Automatik (AGV) untuk mengautomasikan tugasan yang berulang dan memakan masa. 

 

Pelaksanaan strategik sistem storan automatik berketumpatan tinggi membolehkan penggunaan ruang menegak kemudahan secara optimum. Pendekatan ini memaksimumkan kecekapan ruang, menduduki hanya satu perempat daripada jejak itu berbanding dengan pelaksanaan gudang standard.- DagangNews.com