Sunway dijangka tidak berdepan sebarang implikasi kewangan daripada pembatalan kerjasama dengan PDC - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Sunway dijangka tidak berdepan sebarang implikasi kewangan daripada pembatalan kerjasama dengan PDC - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - MIDF Research menjangkakan Sunway Berhad tidak berdepan sebarang implikasi kewangan berikutan penamatan perjanjian pembangunan bersama (JDA) bersama Penang Development Corporation (PDC) bagi pembangunan Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP2).

 

Katanya, kesan daripada penamatan kerjasama itu, PDC akan memulangkan keseluruhan 10% deposit berjumlah RM64.6 juta dalam tempoh 30 hari dan kumpulan itu akan meraih semula wang yang sudah dilaburkan untuk tanah itu.

 

"Sunway menanggung sejumlah RM45 juta untuk 70% kepentingan dalam Umech Land dan deposit prestasi permulaan.

 

"Sementara itu, kami tidak membuat perubahan kepada unjuran pendapatan kerana tidak mengambil kira sumbangan daripada perjanjian tanah ke dalam unjuran pendapatan," katanya.

 

BACA JUGA: Penang Development Corporation dikehendaki pulangkan sepenuhnya deposit Umech Land berjumlah RM64.6 juta

 

BACA JUGA: Lembaga Pengarah PDC batalkan perjanjian usaha sama dengan Umech Land

 

Terdahulu, PDC memutuskan untuk menamatkan perjanjian usaha sama dengan anak syarikat Sunway, Umech Land Sdn. Bhd. bagi pembangunan BKIP2.

 

Lembaga Pengarah PDC menegaskan bahawa mereka memandang serius dan tidak menerima perubahan majoriti struktur ekuiti Umech Land yang dilakukan tanpa memaklumkan PDC dan tanpa kelulusan PDC.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek Sunway kekal stabil dengan menggalakkan dengan sumbangan jualan hartanah baharu daripada projek Singapura dan prospek yang lebih baik untuk Sunway Iskandar berikutan peningkatan dalam landskap hartanah di Johor.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.84 sesaham," katanya. - DagangNews.com