Sunway manfaat trend ledakan pusat data menerusi penjualan tanah kepada firma Singapura | DagangNews Skip to main content

Sunway manfaat trend ledakan pusat data menerusi penjualan tanah kepada firma Singapura

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - Sunway Bhd dijangka memanfaatkan trend ledakan pusat data melalui penjualan tanah Johor kepada firma Singapura Equalbase.

 

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) Research berkata, kumpulan itu boleh merebut peluang bagi menjana pendapatan menerusi bank tanahnya pada harga yang sangat menarik.

 

"Seperti yang dilihat daripada lonjakan urus niaga tanah baru-baru ini, ledakan pusat data semasa menyediakan pemaju hartanah yang mempunyai bank tanah yang sesuai untuk saluran pendapatan baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Sunway telah mengumumkan penjualan tanah seluas 25.9 hektar dari perbandaran Sunway City Iskandar Puteri (SCIP) di Johor untuk pembangunan pusat data kepada Equalbase untuk hasil jualan RM380 juta.

 

Jualan tanah itu diterjemahkan kepada harga jualan RM136 sekaki persegi, yang berada di bahagian atas tawaran penjualan tanah baru-baru ini di Johor, antara RM75 hingga RM138 psf.

 

Firma penyelidikan itu percaya, harga menarik yang diraih kumpulan itu adalah kerana lokasinya yang strategik, memandangkan kedudukannya berdekatan dengan Singapura.

 

Katanya, ia termasuk kerjasama dan sinergi rentas sempadan yang lebih baik untuk perniagaan yang beroperasi di kedua-dua wilayah, serta infrastruktur yang dibangunkan dengan baik, termasuk jalan raya, bekalan kuasa dan telekomunikasi.

 

"Dengan mengandaikan margin keuntungan kasar sebanyak 74%, ini seharusnya memberikan anggaran keuntungan jualan tanah bersih sebanyak RM213.1 juta, yang membentuk sekitar 28.9% daripada unjuran FY25," katanya.

 

HLIB Research mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM4.30.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan ramalannya pada masa ini sementara menunggu butiran lanjut dan penyelesaian transaksi.

 

“Prospek kumpulan itu kekal cerah, disokong oleh tiga tonggak pertumbuhan utama, iaitu penjagaan kesihatan, pembangunan hartanah dan pembinaan," katanya.- DagangNews.com