Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Dis - Hasil daripada kempen 'Always with You 2021' membantu Sunway Property merekodkan jualan sebanyak RM553 juta dalam tempoh 2 bulan sekali gus mampu mencapai sasaran RM2.2 bilion tahun ini.
Syarikat pemaju itu menyemak semula sasaran jualan lebih tinggi kepada RM2.2 bilion selepas mencapai sasaran awal sebanyak RM1.6 bilion pada separuh pertama 2021.
Kempen tersebut yang diadakan sejak 15 Oktober dan berakhir 31 Disember 2021 mempamerkan 5 daripada pembangunan terbaharunya yang direka untuk memenuhi gaya hidup norma baharu.
Ini termasuklah Sunway Serene, Petaling Jaya; Sunway Velocity TWO, Cheras; Sunway Belfield, Kuala Lumpur; Sunway Artessa, Wangsa Maju dan Sunway d’hill Residences, Kota Damansara.
Pengarah Eksekutif Wilayah Tengah Sunway Property, Chong Sau Min berkata, semua pelancaran baharu itu menggabungkan reka bentuk mampan yang menyediakan lebih banyak pembangunan keterhubungan selain disokong kemudahan gaya hidup, bangunan dengan kualiti lebih baik, kualiti udara yang lebih baik dan memberi penjimatan kos tenaga dan air.
Katanya, setiap pembangunan ini terletak di lokasi strategik dengan reka bentuk bersesuaian, landskap hijau dan ciri-ciri norma baharu termasuk lobi dengan pengudaraan semula jadi dan ruang kerja dengan gaya hidup mampan pada harga bermula daripada RM525,000.
"Kejayaan kempen ini adalah hasil daripada kecenderungan pembeli yang meminati kediaman yang mengutamakan kesejahteraan disebabkan perubahan pilihan pengguna sejak sekatan pergerakan dan mekanisme kempen yang memberi ketenangan fikiran kepada pemilik rumah baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi kempen itu, pembeli dapat memanfaatkan sehingga 12 bulan pembayaran tanpa faedah dengan penjimatan sehingga RM23,000 di samping pemasangan kabinet dapur.
Pilihan untuk keluar juga disediakan sebagai jaringan keselamatan sekiranya kehilangan pekerjaan, hilang upaya atau penyakit kritikal untuk tempoh 12 bulan dari tarikh tempahan dan tertakluk kepada terma dan syarat berkenaan.
Selain daripada tawaran itu, sempena Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang berakhir pada 31 Disember ini, pembeli akan menikmati pengecualian Memorandum Pemindahan (MOT) dan penjimatan duti setem pinjaman sehingga RM32,000.
Sepanjang tempoh kempen ini juga, pembeli berpeluang memenangi hadiah-hadiah mingguan bernilai
RM63,888 termasuk kipas dan pembersih vakum Dyson, televisyen pintar Panasonic dan ketuhar. -DagangNews.com