Sunway Pyramid laksana transformasi baharu, Jaya Grocer ganti Aeon | DagangNews Skip to main content

Sunway Pyramid laksana transformasi baharu, Jaya Grocer ganti Aeon

Pusat beli-belah Sunway Pyramid

KUALA LUMPUR 26 Julai - Sunway Pyramid membuka tirai separuh tahun kedua dengan inisiatif penambahbaikan yang bakal menyaksikan transformasi pusat beli-belah itu, tanpa menghapuskan identiti seni bina Mesir, selain memperkenalkan pengalaman membeli-belah yang diperbaharui dan lancar.

 

Pusat beli-belah ternama itu, yang meraikan ulang tahun jubli peraknya tahun lalu, berhasrat untuk terus menaik taraf pengalaman membeli-belah bagi warga komunitinya dan pada masa sama memastikan elemen moden dan kelestarian diterapkan pada rekaan baharunya.

 

"Setelah melalui pelbagai fasa pembesaran dan pembaharuan pada 2007 dan 2015, terbaharu pintasan 'The Link' yang melalui Sunway Pyramid, Sunway Pyramid Hotel, Sunway Resort Hotel dan Sunway Lagoon. pusat beli-belah ini tidak gentar untuk terus menginovasi dan memperbaiki bagi memberi pengalaman yang lebih memuaskan buat setiap individu yang melangkah masuk ke Sunway Pyramid," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut kenyataan itu, inisiatif meliputi 300,000 kaki persegi itu bertujuan memperbaharui pusat beli-belah terbabit dengan penerapan unsur-unsur yang lebih sesuai dengan industri runcit masa kini.

 

"Disasarkan selesai pada suku 2024, penambahbaikan ini telah bermula sejak Aeon meninggalkan Sunway Pyramid.

 

"Pengunjung tidak perlu runsing mengenai kekurangan pilihan membeli-belah kerana Sunway Pyramid akan mengalu-alukan pekedai tarikannya yang terbaharu, jenama tempatan kita iaitu Jaya Grocer pada suku keempat pada 2024.

 

Menjelang pembukaannya, Jaya Grocer versi 'pop-up' akan diperkenalkan pada suku keempat 2023, jadi pengunjung masih boleh mendapatkan barangan keperluan mereka," menurut kenyataan itu.

 

Selain itu, menurut Sunway Pyramid pelbagai kedai ternama dan jenama serta perkhidmatan khusus turut bakal ditampilkan.

 

Kedai-kedai 'pop-up', acara dan pengalaman yang menarik akan diadakan di pusat beli-belah itu bagi memanfaatkan ruang yang tersedia sementara kerja-kerja penambahbaikan berjalan.

 

Pengurus Besar Sunway Pyramid, Jason Chin berkata, penambahbaikan itu merupakan satu langkah ke hadapan bagi Sunway Pyramid, iaitu bagi membuka lembaran baharu dalam mendefinisikan semula pengalaman unik yang ditawarkan pusat beli-belah itu kepada komuniti, lapor Bernama.

 

"Selain menjamin pengalaman membeli-belah yang lancar, kami berharap kelompok masyarakat sekitar juga dapat menimba manfaat melalui peluang pekerjaan daripada pembukaan kedai-kedai baharu, selain memberi nilai hebat kepada pengunjung," katanya. - DagangNews.com