Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) yang merupakan salah satu amanah pelaburan hartanah (REIT) terbesar Malaysia meletakkan cadangan agihan pendapatan sebanyak RM26.4 juta bagi tempoh suku kedua yang berakhir 31 Disember 2020 (suku kedua FP2021).
Sunway REIT berkata, jumlah itu dinilai berdasarkan kepada pengumuman pendapatan kasar kumpulan yang dicapai pada suku sama.
"Di sebalik persekitaran operasi yang mencabar, Sunway REIT mengekalkan nisbah pembayaran agihan pendapatan sekurang-kurangnya 90% daripada pendapatan yang boleh diagih yang berjumlah RM26.4 juta atau agihan seunit (DPU) sebanyak 0.77 sen pada suku kedua FP2021," jelas Sunway REIT dalam laporan kewangan suku kedua yang berakhir 31 Disember 2020.
Dalam laporan tersebut, Sunway REIT mengumumkan pendapatan kasar berjumlah RM95.8 juta bagi suku kedua yang berakhir 31 Disember 2020 berbanding RM155.8 juta pada suku tahun sebelumnya (2Q FY2020).
Pendapatan hartanah bersih (NPI) pada suku sama turut menurun kepada RM66.0 juta berbanding RM116.6 juta pada suku tahun sebelumnya.
Sunway REIT berkata, penurunan tersebut disebabkan oleh ketidaktentuan dan cabaran yang timbul susulan penularan wabak COVID-19.
Segmen runcit dan hotel turut terjejas berikutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di beberapa negeri susulan peningkatan semula kes COVID-19.
Pendapatan kadar bagi segmen runcit pada suku berkenaan berjumlah RM56.8 juta berbanding RM106.7 juta pada suku kedua tahun kewangan 2020.
Perkara tersebut disebabkan oleh pelaksanaan PKPB pada Oktober yang telah menghentikan pemulihan jualan [ada suku kedua yang berakhir 31 Disember 2020 (2Q FP2021).
Sejajar dengan itu, segmen runcit mencatatkan nilai NPI sebanyak Rm33.9 juta berbanding RM74.0 juta pada suku kedua tahun kewangan 2020.
Segmen hotel pula terus terjejas apabila hotel dibawah kendalian Sunway REIT mencatatkan pendapatan kasar RM7.9 juta pada suku tersebut berbanding RM22.6 juta pada suku kedua tahun kewangan 2020.
Penurunan itu berpunca daripada sekatan perjalanan antarabangsa yang berterusan, perjalanan domestik yang terhad dan sentimen berhati-hati dalam kalangan masyarakat akibat peningkatan kes COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management, Datuk Jeffrey berkata, setelah kes COVID-19 kembali melonjak serta pelaksanaan PKP pada 13 Januari 2021, pihaknya meneruskan penilaian berhati-hati bagi tempoh waktu terdekat.
"Dengan usaha pemberian vaksin yang akan dilakukan dalam masa terdekat, usaha pencegahan mungkin akan lebih berkesan jika berlaku keadaan yang tidak dapat dijangka.
"Pastinya kami menantikan pelancaran vaksin COVID-19 pada tahun ini demi mengembalikan keadaan normal dalam industri runcit dan hotel serta kehidupan seharian," tambah beliau. - DagangNews.com