Sunway REIT diunjur raih RM2 juta pendapatan boleh agih pada FY25-26 daripada hartanah perindustrian di Pulau Pinang – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Sunway REIT diunjur raih RM2 juta pendapatan boleh agih pada FY25-26 daripada hartanah perindustrian di Pulau Pinang – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) dianggarkan memperoleh pendapatan boleh agih sebanyak RM2 juta pada tahun kewangan 2025 sehingga 2026 (FY25-26) daripada hartanah perindustrian di Pulau Pinang, kata AmInvestment Bank Research.

 

Oleh itu, firma penyelidikan itu meningkatkan unjuran pendapatan boleh agih FY25 sebanyak 1% selepas mengambil kira sumbangan daripada hartanah yang baharu diperoleh itu.

 

“Kami juga membuat semakan menaik terhadap pendapatan boleh agih FY24 kami kurang daripada 1% kerana peningkatan pendapatan harta bersih (NPI) akan dikurangkan oleh yuran pengambilalihan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

AmInvestment mengekalkan saranan ‘beli’ kepada Sunway REIT dengan nilai saksama (FV) lebih tinggi kepada RM1.86 seunit berbanding RM1.84 sebelum ini selepas mengambil kira sumbangan daripada hartanah perindustrian baharu diambil alih di Pulau Pinang.

 

“Model diskaun dividen (DDM) kami yang disemak semula juga menggabungkan premium untuk penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) empat bintang. FV membayangkan hasil pengagihan FY24 sebanyak 5%, pada pariti dengan median lima tahunnya,” tambahnya.

 

Pada 18 Disember, Sunway REIT dilaporkan bercadang untuk mengambil alih hartanah perindustrian yang terletak di Taman Perindustrian Bukit Tengah, Prai dengan harga RM67 juta tunai, yang mempunyai keluasan lantai kasar 307,487 kaki persegi.

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway REIT cadang ambil alih hartanah perindustrian RM66.8 juta di Pulau Pinang

 

 

“Cadangan pengambilalihan itu dijangka menjana pendapatan awal hartanah bersih (NPI) sebanyak RM5 juta, diterjemahkan kepada hasil NPI sebanyak 7.6% berdasarkan pertimbangan pembelian itu,” kata AmInvestment.

 

Pada masa ini, tempoh pegangan pajakan tamat pada 22 Oktober 2052 dan firma itu berkata REIT tersebut merancang untuk melanjutkan tempoh pegangan pajak tanah selepas selesai pengambilalihan, iaitu kepada 60 tahun (dari 28 tahun) dengan kos RM4 juta.

 

Selepas mengambil kira potensi pembayaran premium lanjutan pegangan pajak, hartanah itu dijangka menjana hasil NPI sebanyak 7%.

 

Menurut firma penyelidikan itu, setelah selesai pengambilalihan dalam suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24), nisbah hutang kepada aset REIT itu pada FY24 diunjur meningkat sedikit kepada 0.42 kali daripada 0.41 kali.

 

Pada pukul 12:13 tengah hari ini, saham Sunway REIT telah susut 1 sen atau 0.7% kepada RM1.54 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM5.27 bilion.  - DagangNews.com