#SunwayforGood sumbang makanan kepada 25,000 keluarga B40 | DagangNews Skip to main content

#SunwayforGood sumbang makanan kepada 25,000 keluarga B40


SHAH ALAM 3 Sept. - Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai jaminan makanan di Malaysia, Kumpulan Sunway melancarkan program #SunwayforGood Food Bank, usaha bank makanan terbesar seumpamanya dilakukan oleh sebuah konglomerat di Malaysia.

Program #SunwayforGood Food Bank bermatlamat menyatukan semua rakyat Malaysia atas semangat membantu keluarga berpendapatan rendah B40 yang diancam kebuluran disebabkan oleh COVID-19.

Program #SunwayforGood Food Bank yang berlangsung sehingga 31 Disember 2020, bermatlamat untuk mengumpul 40,000 kilogram makanan, dengan harapan melebihi sasaran menjelang hujung tahun 2020 yang mampu memberi makanan kepada 25,000 individu daripada keluarga B40 yang paling terjejas kerana pandemik.

Individu-individu penerima bantuan tersebut dikenal pasti melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) – Pembangunan Sumber Manusia bagi Kawasan Pedalaman Malaysia (DHRRA Malaysia), Food Aid Foundation dan The Lost Food Project. Makanan itu akan dihantar kepada keluarga yang amat memerlukan bantuan secara bulanan.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Sunway Group Tan Sri Datuk Seri Razman M. Hashim, yang mengetuai inisiatif program #SunwayforGood Food Bank berkata, “Skala global wabak ini telah memberi impak negatif kepada isi rumah B40 yang ditimpa beban kekurangan bekalan makanan di negara kita dan menjerumuskan mereka kepada kesulitan besar. Oleh kerana individu-individu berkenaan berpendapatan rendah dan/atau hilang sumber pendapatan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kesulitan yang dihadapi mendorong mereka kepada pengambilan makanan yang berkualiti rendah.”

“Ancaman kebuluran boleh menjejaskan pembangunan kita. Ia kini lebih penting untuk memastikan rakyat Malaysia yang terjejas tiada dalam keadaan kelaparan. Adalah penting untuk kita semua berganding bahu dan memberi bantuan kepada keluarga yang paling memerlukan, terutamanya kanak-kanak untuk kesihatan mereka. Program #SunwayforGood Food Bank ini bertujuan membantu mengatasi masalah tersebut dan mencetuskan kesedaran mengenai isu kebuluran yang berskala global. Menerusi inisiatif ini, kami berharap untuk memainkan peranan dalam membantu 820 juta orang di seluruh dunia yang masih bergelut untuk mendapatkan akses kepada makanan,” tambah beliau.

Pengurus Besar The Lost Food Project Mohd Syazwan berkata, “Pandemik telah menyulitkan lagi keadaan masyarakat kita yang paling mudah terjejas. Semasa PKP, derma datang mencurah-curah untuk keluarga B40 kita. Walau bagaimanapun, sumbangan lebihan makanan tidak konsisten tetapi permintaan makanan tidak berkurang. Kami yakin dengan sumber-sumber yang diberi oleh Kumpulan Sunway, beserta bantuan daripada rakyat Malaysia yang baik hati, kita boleh bersama menyelesaikan masalah ini dengan lebih efektif.

"Ia amat sukar untuk menjelaskan bil-bil semasa dan membeli barangan dapur oleh kerana kewangan yang terhad disebabkan pandemik. Ada juga masa di mana saya langsung tidak ada bahan untuk dimasak. Program #SunwayforGood Food Bank muncul tepat pada masanya untuk membantu keluarga saya menempuh waktu yang sukar sekarang,” kata Iruthayamery A/P Amaladass, 45, ibu kepada tiga anak dan salah seorang penerima program #SunwayforGood Food Bank.

Untuk mencapai matlamat tersebut, Sunway juga menjalin kerjasama dengan jenama peruncit terkenal seperti Village Grocer dan Cold Storage yang turut menyumbangkan lebihan barangan runcit mereka, yang mana jika tidak disumbang bakal dibuang begitu sahaja.

Orang ramai boleh membuat sumbangan di kotak-kotak pengumpulan di tujuh pusat membeli-belah yang merupakan sebahagian daripada program ini, iaitu di Sunway Pyramid Mall, Sunway Putra Mall, Sunway Velocity Mall, Sunway Giza Mall, Sunway Geo, Sunway Citrine Hub dan Sunway Big Box Retail Park.

O
rang ramai yang berminat untuk menyumbang kepada keluarga B40 digalakkan bertuju ke pusat beli-belah berkenaan yang terdekat. Barangan sumbangan yang sesuai adalah makanan halal, termasuk barangan kering, minuman, makanan dalam tin, barangan memasak dan rempah ratus. Sumbangan untuk produk kebersihan peribadi juga dialu-alukan.

Orang ramai juga boleh menyumbang lebihan makanan atau barangan yang masih laku dan tidak luput tarikh yang belum digunakan – dan letakkannya di dalam kotak pengumpulan. Syarikat-syarikat barangan pengguna boleh mengemukakan sumbangan mereka dengan menghubungi Alex Kishen Raj menerusi e-mel di alexkr@sunway.com.my.

Sunway Group juga telah menerbitkan video khas yang mengiringi program #SunwayforGood Food Bank. Video tiga minit berjudul ‘Teguh Bersama’ memaparkan perpaduan semasa susah dan senang selain perlakuan memberi pertolongan dari usia muda, membantu membentuk keperibadian individu menjadi warganegara yang produktif dan penuh kasih sayang demi masa hadapan negara kita.

Video tersebut menampilkan lima kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 10 tahun terdiri daripada pelbagai kaum, memahami erti memberi dan berkongsi daripada usia muda di kantin sekolah di mana mereka membantu seorang daripada rakan mereka yang tidak mempunyai makanan pada waktu rehat.

V
ideo ini  diakhiri dengan kumpulan kanak-kanak tersebut kini dewasa dan masih bersahabat baik, bersama-sama terlibat dalam program bank makanan.

Menerusi watak-watak di dalam video ini, Sunway ingin menyampaikan mesej bahawa pentingnya untuk kita memikirkan orang lain, seiring dengan program #SunwayforGood Food Bank dengan matlamat menyatukan rakyat Malaysia untuk membantu keluarga daripada kumpulan B40 yang diancam kebuluran disebabkan COVID-19.

Video ini diinspirasikan oleh kisah benar Jeperin Rasdu, seorang pekerja  SOLS 24/7 yang merupakan rakan organisasi kebajikan kepada The Lost Food Project, dan juga rakan NGO yang terlibat dalam program #SunwayforGood Food Bank.

Beliau mengimbas kenangan masa mudanya di mana keluarganya berdepan dengan masalah ketiadaan makanan dan situasi ini memberi impak kepada dirinya sehingga dewasa.

“Membesar di sebuah kampung di Sabah, saya ingat memakan ubi kayu dan ubi keledek setiap hari, untuk menggantikan nasi,” katanya.

“Ketiadaan makanan adalah satu isu kepada keluarga saya dan situasi ini mempengaruhi saya sehingga sekarang. Namun, saya berterima kasih atas bantuan dan bimbingan daripada orang di sekeliling saya.”

Untuk maklumat lanjut mengenai senarai terperinci barangan yang diperlukan, sila layari www.sunway.com.my/foodbank  - DagangNews.com